AGENSISELANGOR

Pemulihan bekalan air capai 60 peratus hari ini

SHAH ALAM, 14 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan proses pemulihan susulan insiden kerosakan sistem elektrikal Loji Rawatan Air Sungai Langat mencapai 60 peratus sehingga jam 6 pagi, hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, Air Selangor mengambil segala langkah dan tindakan perlu bagi mempercepatkan proses pemulihan serta menyalurkan bantuan kepada pelanggan-pelanggan yang terjejas akibat terputus bekalan air.

“Bantuan lori tangki air terus digerakkan dan tiga pusat khidmat setempat beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, dilaporkan beberapa kawasan di Hulu Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sekali gus menjejaskan kawasan antaranya Balakong, Bandar Mahkota Cheras, Batu 9-16 Hulu Langat, Sungai Long, Cheras Permai, Taman Megah dan beberapa lagi taman perumahan.

Insiden itu menyebabkan lima pam air mentah tidak dapat beroperasi dan berlaku penyusutan pengeluaran air terawat sebanyak 180 MLD daripada pengeluaran harian sebanyak 470 MLD.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-280 0919 atau 019-281 6793 untuk bantuan kecemasan.


Pengarang :