AGENDANASIONAL

Penantian tiga tahun bomba akhirnya tertunai

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Penantian 14,400 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menerima Elaun Khas Skim Perkhidmatan Bomba akhirnya tertunai selepas kerajaan mengumumkannya menerusi Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid menyifatkan pemberitan elaun yang dituntut sejak 2015 itu akan meringankan beban kewangan pegawai dan anggota dalam menghadapi kos saraan hidup yang semakin mencabar.

“Kelulusan ini secara langsung akan menaikkan semangat dan moral serta sebagai elemen motivasi kepada anggota untuk terus memberi perkhidmatan dengan lebih cemerlang serta penuh dedikasi lagi,” katanya ketika dihubungi.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan elaun RM200 sebulan kepada anggota JBPM dan kenaikan elaun sebanyak RM2 sejam kepada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sementara itu, Ketua Pengarah RELA, Zulkifli Abidin berkata, kenaikan elaun itu mulai 1 Januari depan membuktikan kerajaan mengiktiraf tugas dan peranan jabatan itu.

“Saya percaya kenaikan ini akan memberi satu lonjakan moral kepada anggota dan seterusnya meningkatkan peranan kita dalam menjaga keselamatan komuniti,” katanya.

​​​​​​​-BERNAMA


Pengarang :