AGENDANASIONAL

Peraturan 5 minit elak kesesakan kawasan KLIA

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pelaksanaan tempoh menunggu selama lima minit bagi semua pemandu e-hailing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuat untuk mengatasi kesesakan yang mungkin berlaku di tepi jalan terminal itu, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Dalam satu kenyataan semalam, MAHB turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa langkah itu dilaksanakan bagi menjana pendapatan tambahan.

Menurut MAHB, kajian sebelum pelaksanaan itu mendapati pengambilan penumpang bagi perjalanan enam orang termasuk warga emas dan kanak-kanak boleh dicapai dalam masa kurang daripada empat minit.

“Amat penting untuk kami mengenakan tempoh menunggu maksimum ini bagi mengelakkan kesesakan dan ketidakselesaan kepada semua pengunjung lapangan terbang,” katanya.

MAHB menegaskan bahawa pemandu e-hailing yang mengambil penumpang di terminal boleh mengelak pembayaran caj tambahan dengan memandu keluar daripada terminal dalam tempoh ditetapkan.

Sekiranya penumpang masih belum tiba di lokasi pengambilan ditetapkan dalam tempoh tertentu, pemandu boleh keluar daripada kawasan itu dan masuk semula ke tepi jalan.

“Kami menyarankan pemandu e-hailing supaya mengesahkan dengan penumpang terlebih dahulu untuk memastikan penumpang telah bersedia menunggu di lokasi pengambilan,” katanya.

MAHB sentiasa berusaha menyediakan pengalaman lebih baik bagi menyokong mod pengangkutan e-hailing.

“Ketika ini kami sedang berbincang dengan pusat beli-belah gateway@klia2, operator hab pengangkutan di terminal klia2 untuk menyelesaikan isu bayaran masuk RM5 ke hab pengangkutan tersebut,” katanya.

KLIA mempunyai purata harian kira-kira 165,000 penumpang yang menggunakan terminal utama KLIA dan klia2.

Hab pengangkutan awam di kedua-dua terminal itu menyaksikan purata harian kira-kira 2,200 kenderaan pengangkutan awam, termasuk 300 pemandu e-hailing.

-BERNAMA


Pengarang :