Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDASUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor gagal sekat JDT ke final

SHAH ALAM, 27 OKT: Hatrik daripada Safawi Rashid sudah cukup untuk membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Selangor 0-3 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan B Sathianathan gagal mencipta magis kebangkitan pada aksi separuh akhir kedua sekali gus tewas dengan agreget 1-5.

Aksi babak pertama menyaksikan JDT lebih menguasai permainan dengan melancarkan beberapa serangan menerusi gerakan pantas di sebelah kanan pertahanan Selangor.

Red Giants terlebih dahulu menguji gawang JDT pada minit kelapan menerusi tandukan Michal Nguyen dan disusuli percubaan Safawi ke gawang tuan rumah enam minit kemudian.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun, Safawi menebus kesilapan awal dengan meledak gol pertama pelawat pada minit ke-24 selepas berjaya memperdaya penjaga gol Selangor, Khairulazhan Mohd Khalid bagi kedudukan 0-1.

Khyril Muhymeen Mohd Zambri turut menguji gawang JDT pada minit ke-32 menerusi rembatan jarak jauh tetapi bola terus ke dakapan penjaga gol, Farizal Marlias.

Farizal sekali lagi bertindak cemerlang apabila menghalang percubaan Khyril Muhymeen hasil tolakan Syahmi Safari pada minit ke-41 bagi memastikan kedudukan 0-1 kekal sehingga tamat babak pertama.

Perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di antara Selangor menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam pada 26 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Tidak sampai seminit babak kedua bersambung, Safawi menggandakan jaringan 0-2 buat JDT apabila tenang melepaskan rembatan lencong dari luar kotak penalti untuk sekali lagi menewaskan Khairulazhan.

Selang lima minit kemudian, Safawi melengkapkan hatrik dengan gol ketiga JDT selepas melepasi perangkap offside sekali gus menewaskan Khairulazhan di gawang Selangor.

Selangor terus mencuba pada minit ke-72 sekali lagi menerusi rembatan Khyril Muhymeen tetapi berjaya ditolak keluar pertahanan JDT.

Selang lima minit kemudian, Ifedayo Olusegun turut berpeluang untuk merobek gawang JDT tetapi beliau gagal mengawal bola dan mudah diselamatkan Farizal.


Pengarang :