PBTSELANGOR

Stadium Mini Paya Jaras diharap mampu lahir bakat besar bola sepak

SHAH ALAM, 21 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berharap Stadium Mini MBSA Paya Jaras mampu melahirkan bakat baharu dalam sukan bola sepak.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, tidak mustahil bakat muda yang dilahirkan kemudian mengharumkan nama negeri dan negara dalam kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa.

“MBSA sedia berkerjasama dengan mana-mana persatuan sukan dan juga organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan lagi aktiviti kesukanan kerana sukan bukan sahaja membentuk perpaduan dan masyarakat yang sihat tetapi juga dapat meningkatkan imej dan prestasi organisasi, negeri serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam Paya Jaras di sini, malam tadi.

Haris berkata, selain mengcungkil bakat sukan, Stadium Mini MBSA Paya Jaras juga memenuhi keperluan masyarakat untuk melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan lain.

Katanya, MBSA akan menyediakan jadual penggunaan stadium bagi memudahkan masyarakat menggunakan fasiliti ini secara optimum.

Pembinaan Stadium Mini MBSA Paya Jaras menelan belanja sebanyak RM7.2 juta dengan dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya bilik mesyuarat, bilik persalinan pemain, podium, surau dan tempat meletak kenderaan.


Pengarang :