AGENDAGLOBAL

Empat rakyat Malaysia ditahan ugut potong jari wanita Thailand

BANGKOK, 21 OKT: Polis Kemboja menyelamatkan seorang wanita warga Thailand yang dikatakan ditahan sebagai tebusan oleh empat rakyat Malaysia di Sihanoukville, Phnom Penh.

Wanita berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah kasino dalam talian di Sihanoukville diugut bahawa jari tangannya akan dipotong jika gagal membayar wang sebanyak 150,000 baht untuk pembebasan.

Suspek-suspek itu mendakwa wanita tersebut menggelapkan wang syarikat untuk kegunaan peribadi.

Ketua Polis Imigrasi Sa Kaeo, Kolonel Benchapol Rodsawas berkata, suami wanita itu membuat laporan polis di balai polis Klongluek pada 15 Oktober.

“Kami menghantar permohonan kepada rakan sejawatan kami untuk menyelamatkan wanita itu. Polis Kemboja melancarkan pencarian dan mendapati wanita itu berada di sebuah apartmen yang dipercayai dijadikan pejabat kasino dalam talian di Phnom Penh.

“Polis juga menahan empat rakyat Malaysia yang dipercayai menjalankan kasino dalam talian itu,” katanya kepada ketika dihubungi Bernama.

Benchapol berkata, wanita yang diselamatkan itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand kelmarin di pusat pemeriksaan sempadan Klongluek, Aranyaprathet di sempadan Thailand-Kemboja, di Wilayah Sa Kaeo.

Beliau berkata, kempat-empat rakyat Malaysia itu akan didakwa di Kemboja.

– BERNAMA


Pengarang :