AGENDANASIONAL

Syarikat Malaysia dengan pertumbuhan tinggi menyumbang kepada ekonomi lain

CYBERJAYA, 30 OKT: Banyak syarikat di Malaysia boleh dipertingkatkan kepada mencatat status “berpertumbuhan tinggi” dan mampu menyumbang kepada ekonomi lain, menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, syarikat-syarikat tersebut mampu memenuhi definisi Bank Dunia mengenai syarikat berpertumbuhan tinggi – mempunyai pertumbuhan mampan pada sekurang-kurangnya 20 peratus bagi tempoh melebihi lima tahun.

“Saya yakin sudah ada syarikat Malaysia yang berada di barisan hadapan di peringkat global dari segi nilai bersih dan nilai korporat dan apa yang boleh mereka lakukan untuk dunia dan bukan sahaja di Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Simposium Negara Keusahawanan di sini, hari ini.

Beliau sekali gus meminta usahawan Malaysia supaya tidak hanya memberi tumpuan kepada ekonomi domestik, malah meneroka pasaran luar seperti China dan Eropah Timur dan berkongsi kepakaran mereka di negara-negara tersebut.

“Saya ingin memaklumkan kepada usahawan Malaysia bahawa ini bukan sahaja mengenai kita. Ada pihak yang telah menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan kepada dunia. (Beberapa pasaran) cuba menarik perhatian orang lain untuk terlibat dalam industri angkasa misalnya, dan kita telah mempunyai kemahiran insani itu di Malaysia,” kata Mohd Redzuan.

Beliau berkata, kementerian itu dan agensi di bawahnya akan menggalakkan dan memperkasa usahawan tempatan agar memanfaatkan Industri 4.0 khususnya di kawasan automasi supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti dan menjadi kompetitif di pasaran global.

“Penggunaan kecerdasan buatan akan menjadi lebih ketara dalam tempoh beberapa tahun lagi. Sehubungan itu, kerajaan akan mencuba yang terbaik untuk meningkatkan infrastruktur bagi memastikan usahawan yakin untuk melaksanakan Industri 4.0 tanpa kebimbangan mengenai gangguan data dan isu-isu keselamatan siber,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :