Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bertitah pada Majlis Perjumpaan bersama ‘Friends of Asia Pacific World Association of Girl Guide and Girl Scouts of Japan’ di Hotel Metropolitan Edmont Tokyo pada 22 OKtober 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Tunku Azizah kurnia sumbangan peribadi pada mangsa taufan Habigis

TOKYO, 22 OKT: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mengurniakan sumbangan peribadi baginda kepada mangsa Taufan Habigis, yang membadai Jepun baru-baru ini.

Tunku Azizah mengurniakan sumbangan itu pada Majlis Perjumpaan Bersama Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Jepun yang berlangsung di sebuah hotel di sini.

Pada majlis itu, Tunku Azizah, Penaung Diraja WAGGGS, juga berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan 66 ahli Pandu Puteri Jepun.

Tunku Azizah dan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berada di sini, selepas berkenan memenuhi undangan kerajaan Jepun untuk menghadiri Upacara Pertabalan Maharaja ke-126 mereka, Maharaja Naruhito di Istana Imperial hari ini.

Taufan Habigis yang membadai negara matahari terbit itu pada 12 Oktober lalu, dilaporkan mengorbankan lebih 70 mangsa.

Kejadian itu menyebabkan kerajaan Jepun memutuskan untuk menangguhkan acara perarakan Maharaja Naruhito yang sepatutnya berlangsung selepas tamat upacara pertabalan, kepada 10 November ini.

Maharaja Naruhito, 59, dimasyhurkan pada 1 Mei lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda Maharaja Akihito, 85, yang melepaskan tahkta atas faktor kesihatan, sekaligus menjadi Maharaja pertama berbuat demikian.

– BERNAMA


Pengarang :