AGENDANASIONAL

WKB2030 lihat jurang ekonomi secara menyeluruh

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) melihat masalah jurang ekonomi daripada sudut lebih luas, merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan, berbanding sebelum ini yang kebanyakannya melihat daripada sudut kaum.

Pengerusi Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, melalui pendekatan lebih holistik itu, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan dapat mengecapi nikmat kemakmuran apabila segala jurang ekonomi yang wujud di negara ini dapat dirapatkan.

“Prinsip asasnya adalah jelas, iaitu mana-mana kumpulan masyarakat yang terpinggir akan dibantu oleh kerajaan termasuk golongan B40 dengan lebih 70 peratus daripadanya terdiri daripada Bumiputera.

“Strategi dan inisiatif khusus akan dilaksanakan di bawah wawasan baharu ini untuk meningkatkan pendapatan golongan B40 serta menyediakan pelbagai sokongan untuk mereka meningkatkan keupayaan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan pada pelancaran WKB2030 oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ini termasuk pembangunan kemahiran dan profesionalisme, penyertaan dalam rantaian bekalan dan penciptaan kekayaan.

“Maka Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang bakal menerima manfaat paling utama.

“Malah keberhasilan Bumiputera secara keseluruhannya adalah antara intipati penting wawasan ini,” katanya.

Namun, katanya, WKB2030 tidak meminggirkan kaum lain dengan 30 peratus daripada golongan B40 adalah terdiri bukan Bumiputera.

Beliau berkata kesemua mereka ini akan turut menerima manfaat yang besar daripada pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan untuk merapatkan jurang ekonomi.

“Malaysia memerlukan satu hala tuju baharu ekonomi untuk melonjakkan pencapaian ekonomi negara dan memastikan hasil kekayaan dan kemakmuran yang dijana oleh negara kita dinikmati secara adil, saksama dan inklusif oleh seluruh rakyat.

“Usaha secara berterusan dan bersungguh-bersungguh perlu dilaksanakan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, membangunkan bidang ekonomi baharu yang dapat menyediakan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dan merapatkan jurang ekonomi antara kelas pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun dasar ekonomi sebelum ini menunjukkan kejayaan, masih ada kelemahan tertentu termasuk masalah ketirisan dan kesukaran dalam pelaksanaan yang menyebabkan sasaran yang ditetapkan tidak dapat dicapai sepenuhnya.

-BERNAMA


Pengarang :