AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Agong berkenan rasmi Pesta Malaysia di Tokyo

KUALA LUMPUR, NOV 3: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Pesta Malaysia 2019 di Tokyo, Jepun semalam.

Menurut kenyataan Istana Negara pesta tiga hari yang akan berakhir esok diadakan di Taman Shinjuku Chuo, Shinjuku Tokyo.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, lawatan itu adalah inisiatif baginda untuk bertemu dan berinteraksi dengan rakyat Malaysia di Tokyo.

Beliau berkata lawatan Al-Sultan Abdullah juga menunjukkan bahawa baginda tidak boleh dipisahkan daripada rakyat Malaysia sungguhpun berada di Jepun.

Keberangkatan baginda ke pesta itu merupakan acara sampingan daripada lawatan peribadi baginda selama empat hari ke Jepun yang berakhir esok atas jemputan Safdar Khan, Presiden Bahagian Mastercard bagi Indonesia, Malaysia dan Brunei bagi menyaksikan perlawanan akhir Ragbi Piala Dunia 2019, tambah kenyataan itu.

“Pada pesta itu, baginda antara lain meninjau gerai yang mengambil bahagian dan beramah mesra dengan pengunjung serta menyantap hidangan yang disediakan khas oleh Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri (PERWAKILAN) Tokyo.

“Keberangkatan Al-Sultan Abdullah mencerminkan komitmen dan sokongan yang tidak terhingga baginda terhadap usaha dan inisiatif untuk mempromosikan Malaysia kepada dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi selepas ucapan alu-aluan oleh Duta Malaysia ke Jepun Datuk Kennedy Jawan. Al-Sultan Abdullah kemudian memukul gong sebagai tanpa perasmian Pesta Malaysia 2019 itu.

Kennedy berkata Pesta Malaysia 2019 itu merupakan kali kedua seumpamanya dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Tokyo selepas kali pertama pada November tahun lalu.

– BERNAMA


Pengarang :