AGENSISELANGOR

Boling erat hubungan Worldwide Landfills-PBT, Media

SUBANG, 3 NOV: Kejohanan Boling Tahunan Worldwide Landfills Sdn Bhd (WLSB) bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berlangsung di Sunway Bowl Megalane, di sini semalam, berjaya menarik penyertaan 42 pasukan.

Ketua Pegawai Operasi (Alam Sekitar), Worldwide Holdings Berhad, Zamri Abdul Rahman berkata, penganjuran kejohanan kali ke-9 itu bertujuan meningkatkan jaringan kerja bersama PBT selain menghargai peranan media.

“Kejohanan ini bertujuan memberi penghargaan kepada PBT dan agensi kerajaan terbabit dengan aktiviti pengurusan alam sekitar yang telah banyak membantu urusan kerja dan memberi sokongan kepada WLSB.

“Juga tidak ketinggalan peranan media yang membuat liputan bagi penganjuran program WLSB sepanjang 2019.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, 42 pasukan daripada PBT seluruh Selangor dan agensi kerajaan juga media mengambil bahagian dalam WLSB bagi merebut kejuaraan.

Balingan tertinggi kategori lelaki dimenangi Mohd Iskandar dari Majlis Perbandaran Kajang dengan jatuhan pin 559 sementara bagi kategori wanita dimenangi Nur Hidayah Amer dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor dengan jatuhan pin 563.


Pengarang :