AGENDA NASIONAL

Aplikasi mudah alih untuk pengguna Bas Rapid KL

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Aplikasi mudah alih perancang perjalanan akan diwujud bagi memudahkan pengguna Bas Rapid KL mengetahui waktu sebenar ketibaan pengangkutan awam itu di satu-satu lokasi.

Kementerian Pengangkutan dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen hari ini memaklumkan, penggunaan teknologi itu akan membolehkan pengguna mengetahui maklumat pergerakan, ketibaan dan pelepasan bas seterusnya memudahkan mereka untuk merancang perjalanan masing-masing.

“Prasarana (Prasarana Malaysia Berhad) juga akan memastikan pengambilan pemandu dijalankan dengan lebih kerap bagi mengatasi masalah kekurangan pemandu yang mengakibatkan kekurangan perkhidmatan operasi bas,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab soalan P. Prabakaran (PH-Batu) yang meminta Menteri Pengangkutan menyatakan bagaimana kementerian ingin memastikan pengangkutan awam seperti Bas Rapid KL memberi perkhidmatan mengikut jadual ditetapkan.

Sementara itu, kementerian turut menyatakan tanggapan menyatakan wujud monopoli untuk perkhidmatan bas di Lembah Klang adalah kurang tepat kerana terdapat beberapa syarikat perkhidmatan bas lain selain Bas Rapid KL di bawah Prasarana.

“Kerajaan akan mengkaji dan melaksana model kontrak perkhidmatan bas (bus contracting model) yang lebih cekap dan menggalakkan persaingan pada masa hadapan,” demikian kata kementerian itu.

Ia bagi menjawab soalan Prabakaran yang mahukan penjelasan daripada kementerian sama ada terdapat sistem monopoli yang berlaku di kawasan tertentu oleh syarikat pengangkutan bas terutamanya di kawasan bandar raya Kuala Lumpur.

-BERNAMA


Pengarang :