Azam Shaidid bercakap kepada media ketika Sidang Media UiTM International Orienteering Championship di UiTM, Shah Alam pada 21 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Azam wakil UiTM ke Kejohanan Orienteering Antarabangsa 2019

SHAH ALAM, 22 NOV: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memilih pemain harapannya, Azam Shaidid menyertai Kejohanan UiTM Orienteering Antarabangsa 2019 yang berlangsung pada 6 hingga 8 Disember ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Azizan Abdullah berkata, kejohanan tiga hari itu akan diadakan di Kampus UiTM Shah Alam dan Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, di sini.

Katanya, seramai 459 peserta dari dalam dan luar negara telah mengesahkan penyertaan mereka untuk kejohanan berkenaan.

“Azam pernah menjuarai M21 dalam Acara Ranking Kebangsaan pada Kejohanan yang diadakan di Kuantan, Pahang, Oktober lalu malah beliau juga antara rakyat Malaysia pertama pernah ke Finland bagi menyertai sukan itu pada 2018.

“Azam bakal bertemu pesaing hebat dari Hong Kong iaitu Micky Leung dan Tam Wing Chung pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Sempena Kejohanan UiTM Orienteering Antarabangsa 2019 di Kompleks Sukan UiTM, di sini, semalam.

Sementara itu, Azam, 25, berkata, pencapaian beliau di Finland menaikkan semangatnya untuk meneruskan orienteering dan bercita-cita mahu memgembangkan sukan itu di negara ini.

Katanya, Malaysia memerlukan pembangunan orienteering daripada peringkat akar umbi kerana belum ramai penglibatan atlet dalam sukan terbabit.

“Harapan saya pada kejohanan itu supaya dapat mengekalkan momentum sekali gus membawa nama UiTM dan Malaysia sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya yang berasal dari Kulim, Kedah.

Mengulas berkenaan pesaing dari Hong Kong, katanya, memang agak mencabar namun beliau tidak gentar dan komited akan meneruskan perlawanan.

“Pesaing agak mencabar kerana kebanyakan mereka dari Eropah tetapi saya tidak akan berputus asa malah sentiasa berlatih bagi mengekalkan stamina,” katanya yang juga pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan.


Pengarang :