Mohammad Bakhtiar Wan Chik. Foto REMY ARIFIN/SEALANGORKINI
AGENSISELANGOR

Keunikan khazanah warisan Selangor bantu promosi TMM2020

PETALING JAYA, 22 NOV: Limpahan khazanah warisan daripada kepelbagaian suku kaum dan etnik di Selangor menjadi keunikan penting kepada negeri ini yang sedang mempromosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mohammad Bakhtiar Wan Chik berkata, melihat kepada perkembangan itu, pihaknya percaya sasaran 30 juta ketibaan pelancong luar ke negara ini mampu dicapai.

Katanya, kemasukan pelancong itu dijangka menjana pendapatan sehingga RM100 bilion sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi bukan sahaja buat Malaysia tetapi Selangor sendiri.

“Selangor sememangnya antara negeri yang berada dalam kelompok tiga negeri terbaik untuk menarik pelancong asing kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang adalah pintu masuk utama terletak di negeri itu.

“Justeru, kita mahu jalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor bagi merancakkan promosi eko-pelancongan, pelancongan budaya dan beberapa warisan yang kaya di Selangor seperti Perkampungan Orang Asli Mah Meri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran TMM 2020 peringkat Selangor, di Grand Ballroom, Eastin Hotel Kuala Lumpur, di sini malam tadi.

Turut hadir, EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Pengarah Pejabat MOTAC Selangor, Syed Mohd Fariz Syed Mansor.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil rakan strategik kepada 17 penerima terdiri daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), persatuan pelancongan, hotel dan syarikat swasta yang menyatakan komitmen menyokong TMM2020.

Mohammad Bakhtiar menzahirkan rasa bangga di atas komitmen Kerajaan Negeri yang senada dalam menyatakan sokongan bagi menyemarakkan kempen tersebut.

“Bagi terus membantu penggiat industri pelancongan di Selangor, kerajaan sudah menyediakan pelbagai insentif seperti Galakan Melancong Malaysia (GAMELAN Malaysia), Tabung Infrastruktur Pelancongan dan Tabung Khas Pelancongan.

“Kita berharap Tourism Malaysia dan Tourism Selangor akan terus bekerjasama dalam mempromosikan aktiviti-aktiviti pelancongan terutama di Selangor,” katanya.


Pengarang :