AGENDANASIONAL

BSN peruntuk RM500,000 bantu pelajar miskin seluruh negara

PASIR PUTEH, 17 NOV: Bank Simpanan Nasional (BSN) memperuntukkan RM500,000 untuk membantu 2,000 pelajar miskin dalam bentuk kelengkapan sekolah dan wang tunai bagi sesi persekolahan baharu di seluruh negara pada tahun ini.

Pengurus Bahagian Hal Ehwal Korporat BSN, Arida Ariffin berkata, penerima yang terdiri daripada murid tahun dua hingga lima itu akan dibekalkan dengan satu set pakaian, stoking, kasut serta wang tunai sebanyak RM50 yang dimasukkan ke dalam akaun penerima.

“Penerima terdiri daripada ibu bapa kurang berkemampuan dan didaftarkan di bawah program e-Kasih Jabatan Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita pada Program Jom To School di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 160 pelajar miskin dari tiga jajahan iaitu Pasir Puteh, Bachok dan Machang menerima bantuan itu manakala 90 pelajar dari jajahan Tanah Merah, Kuala Krai, Pasir Mas dan Jeli akan menerimanya dalam tempoh terdekat.

Arida berkata, Kelantan menerima peruntukan terbesar pada tahun ini membabitkan sejumlah RM37,500 melibatkan 250 murid berbanding 80 murid pada tahun lepas.

Katanya, program itu bermula sejak 10 November lepas di Johor diikuti Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Perak manakala selepas ini pihaknya akan berkunjung ke Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak sebelum berakhir 22 November di Melaka.

– BERNAMA


Pengarang :