Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi PAKATAN bersama Karmaine Sardini pada Majlis Perjumpaan Jentera PRK Parlimen Tanjung Piai di Penerok, Pontian pada 31 Oktober 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Calon PH minta diberi peluang teruskan agenda kerajaan

PONTIAN, 3 NOV: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini menaruh harapan tinggi untuk mendapat kepercayaan penduduk dan pengundi di kawasan Parlimen itu bagi meneruskan agenda yang telah dilaksanakan.

Sehubungan itu, Karmaine, 66, berharap rakyat tidak terpengaruh dengan pelbagai dakwaan tidak benar terhadap PH sebaliknya terus memberi peluang kepada beliau dan PH untuk berbakti kepada rakyat.

Katanya, beliau sangat maklum bahawa terdapat dakyah yang menghasut pemikiran rakyat bahawa kononnya PH hanya layak menjadi ‘kerajaan sepenggal’ setelah didakwa gagal menunaikan janji manifesto mereka.

“Kami baru setahun setengah, kena beri peluang pada kami untuk meneruskan agenda yang ditetapkan. Insya-Allah dalam tempoh tiga hingga empat tahun, kami akan tunaikan semua manifesto.

“…kerana di Johor sendiri, manifesto semua sudah ditunaikan. Kami sudah bagi Kad Sihat, air percuma dan sebagainya,” katanya selepas bertemu orang ramai di sekitar Pekan Nenas, di sini, hari ini.

Karmaine yang juga Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai berkata, beliau juga akan menggunakan peluang kempen itu untuk menjelaskan bahawa tiada istilah wakil rakyat hanya perlu berkhidmat untuk satu kaum sahaja sebaliknya perlu mewakili semua pihak demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga.

“Sebenarnya di Malaysia ini, tidak ada konsep itu (wakil rakyat untuk satu kaum). Konsep kita (PH) adalah untuk semua.

“Kalau untuk kaum tertentu, itu bukan wakil rakyat namanya. Itu wakil kelompok parti tertentu,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 November bagi pengundian awal.

Ia menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, pengasas pusat tuisyen, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, seorang ahli perniagaan.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Md Farid menang dengan majoriti 524 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

– BERNAMA


Pengarang :