AGENDANASIONAL

Kementerian Pertahanan belum dimaklum hasil siasatan isu ‘land swap’ – Mat Sabu

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Kementerian Pertahanan telah mengemukakan laporan siasatan 16 projek ‘land swap’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sehingga kini belum dimaklumkan mengenai sebarang penemuan atau hasil siasatan mengenai perkara itu.

Menteri berkenaan Mohamad Sabu berkata laporan siasatan bagi dua projek dikemukakan kepada SPRM pada 21 Februari lepas manakala baki 14 projek lagi dikemukakan pada 16 Mei lepas untuk siasatan lanjut pihak SPRM.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini mengenai status 16 projek land swap melibatkan 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan bernilai RM4.7 bilion.

Mohamad berkata pihaknya telah membentangkan Kertas Jemaah Menteri pada 18 September lepas untuk mendapatkan kelulusan berhubung hala tuju projek di Hutan Melintang.

“Di samping itu, pemakluman kepada Jemaah Menteri turut dilaksanakan pada 18 Okt melibatkan tujuh projek yang lain untuk mendapatkan hala tuju projek-projek itu,” katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya sebelum ini berkata pihaknya memerlukan lebih banyak masa untuk menjalankan siasatan mendalam berhubung kes itu dan akan menelitinya sebelum mengambil sebarang tindakan.

Mohamad berkata pihaknya juga sedang membuat rundingan semula untuk meneruskan beberapa projek ‘land swap’ ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Ini, katanya adalah bagi mendapatkan semula kerugian berjumlah kira-kira RM500 juta yang dialami kerajaan berikutan projek ‘land swap’ seperti dilaporkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan.

Februari lepas, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Menjawab soalan Ahmad Fahmi mengenai pembelian enam helikopter McDonnell Douglas yang masih tidak diterima sehingga kini, ​​​​​​​Mohamad berkata Jemaah Menteri akan membuat keputusan mengenainya kira-kira dua minggu lagi.

-BERNAMA


Pengarang :