Lim Guan Eng pada sidang media di Parlimen pada 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan ada sumber mencukupi bayar gaji penjawat awam

PUTRAJAYA, 28 NOV: Kerajaan mempunyai sumber yang mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan gaji penjawat awam, dan tidak perlu meminjam untuk berbuat demikian, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ini, katanya terbukti apabila penarafan kredit negara Malaysia kekal tinggi pada paras A3 atau A- dengan unjuran stabil, dan jika kerajaan Persekutuan meminjam untuk membayar gaji penjawat awam, ia akan menjurus kepada penurunan penarafan kredit.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa berupaya membayar gaji penjawat awam, serta memenuhi obligasi kewangannya yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi menyangkal dakwaan Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Isnin lepas bahawa kerajaan Persekutuan meminjam wang untuk membayar gaji penjawat awam.

Menurut Lim, dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu meleset kerana emolumen bagi suku ketiga 2019 berjumlah RM19.9 bilion, sedangkan pendapatan kerajaan dalam tempoh yang sama berjumlah RM68.8 bilion.

“Ini bermakna pendapatan kerajaan adalah tiga kali ganda lebih besar berbanding tanggungan emolumennya,” katanya.

Lim berkata kerajaan juga sedang menepati sasaran untuk merendahkan defisit fiskal daripada 3.7 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2018 kepada 3.4 peratus untuk tahun ini.

“Segala pinjaman kerajaan adalah untuk membiayai defisit fiskal dan perbelanjaan pembangunan, seperti yang biasa dilakukan oleh pentadbiran-pentadbiran terdahulu. Perbelanjaan mengurus seperti pembayaran gaji langsung tidak dibiayai melalui pinjaman,” katanya.

Menurut Lim, situasi bagi kerajaan negeri Kelantan pula berlainan apabila pada 14 Oktober lepas, Kementerian Kewangan meluluskan permohonan pendahuluan berjumlah RM100 juta bagi kerajaan negeri itu untuk membiayai sebahagian daripada perbelanjaan, termasuk membayar gaji anggota pentadbiran kerajaan negeri sehingga penghujung 2019.

-BERNAMA


Pengarang :