Suasana sidang Dewan Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Annex, Shah Alam pada 5 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Kerajaan Negeri diminta bina pasar di DUN Sentosa

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri diminta membina sebuah pasar di kawasan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa bagi memudahkan penduduk menjalankan perniagaan dengan lebih sistematik.

G Gunarajah (PAKATAN-Sentosa) berkata demikian ketika membaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembinaan pasar itu juga akan membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi meningkatkan pendapatan.

“(DUN) Sentosa juga ingin memohon Dato’ Menteri Besar (Amirudin Shari) untuk memberi perhatian bagi membina sebuah pasar di kawasan DUN Sentosa bagi masyarakat di sini.

“Dengan adanya kawasan pasar yang sistematik, PBT dapat mengawal segala aktiviti perniagaan dari hal lesen, kesihatan dan sebagainya,” katanya.

Katanya, pasar pagi yang ada di tepi jalan dan longkang sekarang mengundang banyak masalah kepada orang ramai termasuk PBT dan peniaga dari segi keselamatan serta kebersihan kerana tiada kawalan.

Dalam ucapan sama, Gunarajah turut mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk meningkatkan jumlah pendapatan siling ibu bapa kepada RM2,500 atau RM3,000 berbanding bawah RM2,000 sebelum ini supaya lebih banyak pelajar mendapat manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS).


Pengarang :