Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan gimik pelancaran Majlis Perasmian Jubli Perak PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 di Perkarangan Menara Berkembar PETRONAS malam tadi. Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (dua,kiri), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua,kanan), Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif LTdl Datuk Ahmad Mustafa (kanan). Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

LTdL cetus budaya berbasikal di Malaysia – Syed Saddiq

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua Asia Le Tour de Langkawi (LTdL) terbukti telah mencetuskan budaya berbasikal di Malaysia.

Ia bukan sahaja berjaya melahirkan atlet berbasikal bertaraf profesional dan antarabangsa malah telah berjaya membudayakan basikal secara keseluruhannya.

Perkara ini diakui Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi penganjuran program Junior Cycling Malaysia (JCM) serta pembinaan sebuah lagi velodrom di Terengganu.

“LTdL telah menjadi pencetus budaya berbasikal di Malaysia bukan sahaja bagi atlet berprestasi tinggi tapi juga membudayakan basikal secara keseluruhan. Kita sudah ada JCM untuk mendidik anak-anak kita yang akhirnya nanti akan berpeluang mewakili Malaysia pada masa akan datang.

“Pada awal tahun depan kita akan mula membina velodrom di Dungun untuk memastikan sukan berbasikal dapat dirancakkan lagi supaya lebih ramai rakyat Malaysia melibatkan diri dalam sukan berbasikal ini,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Petronas LTdL 2020.

Menurut Syed Saddiq lagi, dengan kembalinya LTdL ke Sabah dan Sarawak selepas kali terakhir pada 1997, ia bukan sahaja memberi peluang kepada peminat sukan berbasikal menikmati kemeriahan acara tetapi pada masa sama membantu menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020.

LTdL yang dinaik taraf kepada Siri Profesional (ProSeries) menampilkan empat tahap perlumbaan dijadualkan berlangsung dari 7 sehingga 14 Feb, meliputi jarak 1,095.7km melintasi laluan di Sarawak, Terengganu, Pahang, Wilayah Persekutuan (Putrajaya dan Kuala Lumpur), Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah.

Bagi edisi 2020, penganjurnya Human Voyage menjanjikan keunikan dengan kemasukan semula Sabah dan Sarawak serta pengenalan dua pra dan post perlumbaan iaitu Criterium International dan Malaysia Classic.

-BERNAMA


Pengarang :