Tun Dr Mahathir Mohamad. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

`Malaysia@Work’ program wujud peluang pekerjaan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Kerajaan memperuntukkan RM6.45 billion bagi program ‘Malaysia At Work’ untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini sepanjang tempoh lima tahun akan datang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, program itu mempunyai banyak kesan berganda jangka panjang yang akan melangkaui tempoh lima tahun itu.

“Ia mewujudkan pekerjaan, ia menjana peluang pembelajaran, ia mewujudkan perhubungan yang memerlukan kerjasama,” katanya dalam ucaptama persidangan Kesejahteraan Sosial 2019 dan melancarkan Malaysia@Work, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, semua orang ada peranan yang perlu dimainkan bagi mengatasi cabaran yang berlaku akibat pengangguran kerana ia akan meracuni dan memberi kesan kepada semua peringkat masyarakat sekiranya tidak ditangani.

“Apabila sebahagian besar remaja kita menganggur, kita kehilangan sumbangan mereka yang berpotensi kepada negara, membazirkan pelaburan yang kita buat dalam pendidikan mereka dan boleh membenihkan ketidakpuasan dan ketidakstabilan.

“Masalah Malaysia perlu penyelesaian dengan cara dan pasukan Malaysia. #MalaysiaKerja, atau Malaysia@Work, adalah jawapan Malaysia bagi menyelesaikan cabaran pekerjaan dalam pasaran,” katanya.

Program itu, katanya, disasarkan kepada segmen khusus tenaga kerja terutamanya pemuda melalui Graduates @ Work dan Apprentice @ Work; Women@Work dan Locals @Work.

Beliau berkata, menerusi insentif pengambilan pekerja untuk majikan, kerajaan mahu menghubungkan bakat yang tersedia dan sanggup untuk bekerja dengan bermaruah kerana negara menyediakan tenaga kerja untuk masa depan.

Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) telah membuka begitu banyak peluang dalam sektor teknikal dan vokasional untuk menggalakkan belia menjadi mahir dalam bidang TVET melalui program Apprentice @ Work.

Dengan begitu banyak pekerjaan digantikan oleh cara baharu dalam melakukan sesuatu, satu segmen penduduk yang paling banyak terkesan ialah graduan baharu.

Dr Mahathir berkata, Graduates@Work adalah penting kerana golongan belia akan mewarisi negara dan kehidupan mereka menentukaan masa hadapan negara.

“Kita mempunyai Women@Work, kerana wanita merupakan sumber yang perlu digerakkan di luar rumah ke dalam bidang profesional. Ini sudah tentu berlaku di Malaysia.
“Dalam setiap rentetan sejarah kita, wanita, yang merupakan penjaga utama keluarga, telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan masa depan rakyat Malaysia dengan nilai-nilai yang kukuh,” katanya.

Akhirnya, Locals @Work, katanya, kerana kerajaan mahu pekerja 3D tahu bahawa mereka bekerja dalam pekerjaan yang Mulia, Dinamik dan Diinginkan.

“Saya sangat mengagumi warga negara seperti Jepun dan Korea yang sangat berbangga dalam pekerjaan harian yang mereka lakukan. Tiada pekerjaan terlalu rendah dan oleh itu mereka tidak bergantung sangat kepada tenaga kerja asing, “katanya.

Perdana Menteri berkata, dalam Malaysia berusaha untuk menjadi negara maju, negara harus memastikan kemakmuran yang diperolehnya akan dikongsi dalam kalangan semua, tidak ada yang tertinggal di belakang

“Untuk ini, kita mesti meluangkan masa untuk membantu golongan yang terdedah, terutamanya generasi muda kita, untuk mendapatkan kualiti dan pekerjaan yang bermaruah.

Dr Mahathir berkata, dana RM6.5 bilion yang disediakan oleh Kementerian Kewangan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyaksikan penglibatan aktif dan pemilikan moral daripada Kementerian Pelajaran, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

Perdana Menteri menekankan bahawa beliau bukan sahaja memerlukan kementerian-kementerian yang disebutkan itu untuk bertanggungjawab secara peribadi terhadap pelbagai tonggak @Work itu tetapi juga mengharapkan seluruh Kabinet untuk meningkatkan, mengumpulkan sumber mereka dan memberikan setiap sokongan yang ada untuk memastikan kejayaan program-program tersebut.

“Jika kita melakukan ini dengan baik, Malaysia@Work akan menjadi jawapan untuk memacu kemajuan yang mampan dan kesejahteraan sosial yang menyeluruh untuk seluruh negara, “katanya.

– BERNAMA


Pengarang :