Amirudin Shari bersama Sasterawan Negara, Prof Dr Siti Zainon Ismail (tiga dari kanan) ketika perasmian Majlis Pembukaan Pameran Seni Rupa ‘Sisarasa’ Residensi Seni 2/2019 Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada 8 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Peruntukan PeBT bukan niat politik

PETALING JAYA, 9 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin yang mempertikaikan pemberian peruntukan RM5.3 juta kepada Penggerak Belia Tempatan (PeBT) sebagai tidak wajar.

Ini kerana, penubuhan PeBT bukan berniat politik atau menjadi pesaing kepada Majlis Belia Selangor (MBS) malah sejak 2009 ia turut mempunyai struktur yang hampir sama seperti ketua kampung dan sebagainya.

“Saya tidak nampak ia berniat politik sebab kita memang nak membangunkan belia. Sebab itu kita terbuka bukan hanya anak muda Pakatan Harapan sahaja, ia juga harus melibatkan semua gabungan anak muda yang ada.

“Sudah tentu (kenyataan) tidak wajar kerana kita sudah melahirkan pimpinan bukan satu dua orang, ramai yang terlibat sama ada di peringkat tempatan, kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO). Ini satu contoh bidang kepada anak muda untuk terlibat secara langsung dengan aspirasi kerajaan,” katanya.

Amirudin Shari meneliti karya pelukis Khairul Ehsani Sapari bertajuk ‘The Transition lll’ selepas merasmikan Pameran Seni Rupa ‘Sisarasa’ Residensi Seni 2/2019 Rumah Seni Selangor, Petaling Jaya pada 8 November 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media selepas pembukaan RUsSEL Residensi sesi 2/2019 di sini, semalam.

Katanya, PeBT dan MBS perlu bergabung di peringkat tempatan dan akar umbi kerana menjadi pemangkin belia di samping menghubungkan semua persatuan sedia ada.

“Ada orang minat persatuan, ada yang minat persatuan kompang tidak berdaftar (dan) ada yang minat persatuan skateboard. Mereka ini tidak berdaftar tetapi mereka terlibat. PeBT tugasnya mencantumkan (persatuan) yang rasmi dan tidak rasmi dalam satu program atau aktiviti disusun Kerajaan Negeri,” katanya.

Mohd Imran dalam kenyataan dilaporkan sebelum ini mendakwa penyaluran peruntukan jutaan ringgit itu dipercayai untuk kepentingan parti politik pemerintah di Selangor.


Pengarang :