Amirudin Shari menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak ketika Majlis Rumah Terbuka Deepavali DUN Sungai Tua 2019 di Dewan Seri Siantan, Batu Caves pada 24 November lalu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tolak perbezaan fahaman, agama demi rakyat

BATU CAVES, 25 NOV: Kerajaan Selangor mengetepikan perbezaan warna kulit, agama dan fahaman demi memastikan rakyat di negeri ini mendapat layanan terbaik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata justeru, Belanjawan 2020 yang dibentangkan pada 1 November lalu merangkumi kepentingan semua kaum untuk manfaat bersama.

Katanya antara diberi perhatian ialah peruntukan hampir RM5 juta untuk pembangunan sekolah jenis kebangsaan tamil di seluruh negeri.

“Pada masa sama, kita meneruskan usaha untuk membangunkan usahawan India menerusi program sedia ada termasuk HIJRAH serta melalui portfolio pemberdayaan, pembangunan sosio ekonomi dan kerajaan prihatin.

“Semua ini dilakukan khas buat masyarakat India di Selangor, sekali gus membolehkan kita semua hidup dalam keadaan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Dewan Siantan, di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan; Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Shamsul Shahril Badliza.

Amirudin yang juga ADN Sungai Tua turut melahirkan rasa gembira atas sokongan padu komuniti India di kawasan itu kepada Kerajaan Negeri.

“Kita harus menjadi contoh kepada rakan di tempat lain bagi membuktikan kita melakukan perubahan, membangun dan maju bersama-sama.

“Sebab itu juglah kita sedari awal sudah katakan Maju Bersama di Selangor, negeri yang dicintai,” katanya.


Pengarang :