AGENDANASIONAL

Mujahid kecewa kejadian pelajar maahad tahfiz meninggal dunia

PUTRAJAYA, 8 NOV: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan insiden kematian pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh yang dikesan mempunyai lebam pada badan.

Dalam ucapan takziahnya kepada keluarga mangsa dalam satu kenyataan hari ini, Mujahid berkata : “Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun, baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa.”

Beliau dalam pada itu percaya pada kecekapan polis untuk menyiasat kes berkenaan dan berharap hasil siasatan dapat mengetahui punca kematian itu.

Menurut laporan, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun di pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang itu, meninggal dunia dengan kesan lebam pada tubuhnya, semalam.

Susulan itu, tiga remaja berusia 13 tahun yang juga pelajar di pusat tahfiz itu ditahan bagi membantu siasatan kematian mangsa.

Sementara itu, Mujahid menasihatkan ibu bapa agar menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.

-BERNAMA


Pengarang :