AGENDANASIONAL

Pameran Seni Lukis Bertemakan Masjid pamer 74 karya penggiat seni

KUALA LUMPUR, 2 NOV : MIHRAB – Pameran Seni Lukis Bertemakan Masjid berlangsung selama dua minggu sejak 28 Oktober lalu hingga 10 November ini di WhiteBox, Map Publika Solaris Dutamas, di sini.

Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Holdings Sdn Bhd, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya berkata, pameran itu berjaya menampilkan 74 karya seni yang dihasilkan 38 penggiat seni tempatan dari pelbagai bangsa.

Katanya, pameran itu dianjurkan bertepatan dengan hasrat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu menonjolkan kepentingan institusi masjid sebagai ikon perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Objektif pameran ini adalah bagi mempamerkan visual seni yang bukan sahaja memberi fokus kepada kesenian Islam namun turut menonjolkan peranannya dalam pembangunan serta kesejahteraan ummah.

“Yang membanggakan kami, penganjuran pameran ini lahir daripada cetusan idea dan hasrat DYMM Tuanku yang ingin melihat sendiri seni bina Islam yang terdapat di masjid Selangor serta dipertontonkan daripada perspektif berbeza melalui kretiviti penggiat seni tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di Majlis Perasmian MIHRAB – Pameran Seni Lukis Bertemakan Masjid di WhiteBox, Map Publika Solaris Dutamas, di sini, hari ini.

Turut berkenan berangkat mencemar duli DYMM Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Pada masa sama, Md Zubir Ansori berkata, menerusi pameran itu turut ditampilkan penggiat seni muda berbakat lepasan UiTM yang mampu menyumbang kembali bakat mereka untuk manfaat masyarakat.

“Kami percaya pendedahan ini mampu menyuntik semangat dan keyakinan bakat muda untuk menghasilkan karya berkualiti dan disegani bagi dihayati oleh generasi masa depan.

“Kami juga berharap persembahan karya seni ini mampu membuka mata dan menarik minat pengunjung sama ada rakyat tempatan atau pelancong berkenaan warisan kesenian Islam di Selangor.

“Selain itu, saya berharap pameran ini dapat membuka minda dan menyedarkan kita bahawa mempertahankan warisan kesenian Islam adalah tanggungjawab bersama,” katanya.


Pengarang :