Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap dalam Ceramah Perdana di Tapak Pasar Malam Kukup Laut, kira-kira 35 minit dari pekan Pontian pada 13 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pemimpin PH tiada peluang cari kemewahan diri

PONTIAN, 14 NOV: Salah satu keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah mengambil langkah jelas dan tegas untuk memastikan perbuatan rasuah dan salah kuasa kuasa dalam kalangan pemimpin tidak berulang, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, menerusi langkah itu pemimpin-pemimpin negara tidak berpeluang mencari kemewahan diri tanpa rasa takut akan hukuman yang menanti.

“Memang benar kita tidak boleh selalu menyalahkan kerajaan terdahulu dalam usaha memajukan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat.

“(Namun) Di masa yang sama sudah pasti rakyat yang mengikuti perkembangan kes-kes di mahkamah akan menyedari bahawa kerosakan yang berlaku akibat perbuatan rasuah dan salah guna kuasa hampir menjahanamkan negara,” katanya dalam surat terbuka untuk pengundi dan penduduk di kawasan Parlimen Tanjung Piai, yang diedarkan kepada media malam tadi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, selain daripada memberi tumpuan kepada langkah-langkah mengekang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, kerajaan turut menfokuskan kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

“Selain menerus rancangan-rancangan Malaysia yang telah disedia, kerajaan turut memperkenal strategi-strategi jangka pendek dan jangka panjang termasuklah Wawasan Kemakmuran Bersama yang kita yakin akan dapat mengurangkan jurang pendapatan antara kaum, daerah dan wilayah.

“Perancangan-perancangan ini mengambil sedikit masa, tetapi rakyat akan mula merasai nikmat tidak lama lagi. Saya percaya, jika rakyat menilai dengan baik, sudah pasti mereka dapat melihat dan merasai nikmat-nikmat yang datang walaupun secara beransur-ansur,” katanya.

Beliau berkata, rakyat juga pasti dapat melihat betapa pemimpin-pemimpin daripada parti kerajaan sekarang beserta isteri mereka tidak bermewah-mewah dengan harta rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, terdapat usaha melaga-laga rakyat oleh pihak tertentu, di mana apabila berdepan dengan orang Melayu, mereka menuduh kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu menggadai segalanya kepada orang bukan Melayu.

“Apabila mereka menemui orang bukan Melayu mereka menghasut bahawa pemimpin bukan Melayu dalam kerajaan telah hilang perjuangan mereka kerana menjaga kedudukan. Akibatnya, orang Melayu merasa masa depan mereka tidak terjamin dengan kerajaan ini.

“Di masa yang sama orang bukan Melayu turut tidak puas hati dengan ahli-ahli kerajaan bukan Melayu kerana dituduh membelakangkan kepentingan mereka. Dua perkara ini tidak boleh berlaku di dalam satu masa yang sama dengan kerajaan yang sama,” katanya.

Katanya, kerajaan bertindak atas dasar konsensus apabila melakukan keputusan, yang bermakna setiap kepentingan rakyat diambil kira sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Apabila kita membuat keputusan dengan cara demikian setiap kaum dan kumpulan tidak merasa puas hati sepenuhnya.

“Bagi saya ini adalah lebih baik daripada satu pihak merasa begitu puas hati dan pihak yang lain akan merasa begitu tidak puas hati. Malaya dan Malaysia maju dari awal penubuhannya kerana sikap tolak-ansur dan semangat kerjasama antara pemimpin-pemimpin yang dari dulu berbilang kaum,” katanya.

Katanya, permainan politik perkauman ini didalangi oleh mereka yang terdesak kerana berhadapan dengan tindakan undang-undang akibat ketamakan dan keangkuhan mereka ketika berkuasa.

“Mereka tidak peduli jika perbuatan mereka itu boleh mengakibat tercetusnya pertembungan antara kaum kerana bagi mereka, jika berlaku kekacauan, kemungkaran yang telah mereka lakukan akan dipinggir,” katanya.

Bagi pengundian PRK Tanjung Piai Sabtu ini, Dr Mahathir menyeru pengundi supaya memilih calon PH Karmaine Sardini, yang merupakan calon yang amat sesuai untuk meneruskan usaha-usaha bekas wakil rakyat Tanjung Piai Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, yang meninggal dunia pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

PRK ini menyaksikan saingan enam penjuru antara Karmaine, calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam, Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

– BERNAMA


Pengarang :