Afridza Munandar. Foto BERNAMA
AGENDA SUKANKINI

Penunggang Indonesia maut dalam perlumbaan ATC di litar SIC

SEPANG, 2 NOV: Penunggang Piala Bakat Asia (ATC) Idemitsu, Afridza Munandar dari Indonesia, meninggal dunia dalam perlumbaan sokongan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), di sini, hari ini.

Menurut kenyataan MotoGP, insiden itu berlaku di Selekoh 10 pada Pusingan 1 dengan bendera merah dikibarkan sejurus kemalangan tersebut.

Pelumba berusia 20 tahun itu pada awalnya menerima rawatan perubatan di tepi trek perlumbaan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan helikopter.

“Walaupun usaha terbaik dilakukan oleh pasukan perubatan di litar dan hospital, Afridza tidak dapat diselamatkan,” menurut kenyataan itu.

Selepas 10 pusingan Piala ATC musim ini, Afridza merncapai dua kemenangan, dua penamat di tempat kedua dan ketiga.

Pada pusingan terakhir di Litar SIC, Afridza sedang memburu kedudukan dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Afridza kini menghuni tangga ketiga keseluruhan dengan 142 mata iaitu ketinggalan 27 mata di belakang pendahulu dari Jepun, Takuma Matsuyama dan 15 mata di belakang seorang lagi pelumba Jepun, Sho Nishimura di tangga kedua.

Sementara itu, Perlumbaan 2 Piala ATC Idemitsu akan diteruskan selepas mendapat undian daripada semua penunggang.

Susulan kemalangan maut itu, Pengarah Promosi Bakat, Alberto Puig telah menghimpunkan semua penunggang ATC untuk mendapat maklum balas sama ada Perlumbaan 2 diteruskan atau sebaliknya.

Menurut kenyataan Dorna, perlumbaan esok adalah sebagai tanda memperingati pemergian Afridza selain penunggang akan bertakafur selama seminit di grid pada jam 11.20 pagi sebelum perlumbaan dimulakan.

– BERNAMA


Pengarang :