Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mengundi di SJK (C) Yu Ming 1 & 2, Pekan Nanas pada 16 November 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

PRK Parlimen Tanjung Piai kembali milik BN

PONTIAN, 16 NOV: Barisan Nasional (BN) menawan semula kerusi Parlimen Tanjung Piai selepas calonnya, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi persaingan enam penjuru pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti 15,086 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Parlimen Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir pada jam 9.16 malam, selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Bekas wakil rakyat Tanjung Piai dua penggal daripada MCA itu memperolehi 25,466 undi mengalahkan pencabar terdekatnya, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Empat calon lain pula hilang wang deposit kerana memperolehi undi kurang dari satu perlapan atau 12.5 peratus daripada keseluruhan undi dikira.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Parti Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi sementara calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, peratusan keluar mengundi keseluruhan bagi PRK Parlimen Tanjung Piai adalah 74.5 peratus, melepasi sasaran 70 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) .

Azhar berkata, peratusan itu adalah yang kedua tertinggi selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan yang mencatatkan peratusan keluar mengundi 79.1 peratus.

“Saya rasa itu adalah pencapaian yang baik dan saya ucapkan tahniah kepada pihak sekretariat kerana berjaya melangkaui sasaran peratusan keluar mengundi.

“Tahniah juga kepada media yang telah membantu kita mengajak (menguar-uarkan) pengundi untuk keluar mengundi,” katanya ketika berlintas langsung bersama Bernama TV mengenai proses pengundian PRK itu di pusat penjumlahan undi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini, malam ini.

Azhar berkata, proses pengundian juga berjalan tanpa ada insiden-insiden yang serius, walaupun terdapat pergeseran antara penyokong parti politik di sesetengah tempat.

“Alhamdulillah, tidak ada insiden-insiden serius berlaku. Malah tadi dalam perjalanan saya ke sini (Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim), saya nampak ada penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjabat tangan bermaafan sesama sendiri.

Jadi saya rasa agak bangga dengan semangat yang ditunjukkan walaupun terdapat sedikit pergeseran di sana sini tapi pada amnya (keseluruhan) ia baik,” kata beliau.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

– BERNAMA


Pengarang :