AGENDANASIONAL

Ranking universiti naik beri impak baik kepada Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Kedudukan ranking universiti di Malaysia yang kebanyakannya bertambah baik dalam Quacquarelli Symonds (QS) Asia University Rankings (QS-AUR) 2020 berbanding tahun lalu memberi impak besar kepada bidang pendidikan negara.

Pengerusi Keilmuan Nasional Zambri Mohd Isa berkata, perkara itu adalah satu perkembangan yang bagus dan secara tidak langsung akan menarik minat pelajar luar negara untuk menuntut ilmu di universiti tempatan.

Katanya ranking universiti di peringkat antarabangsa juga amat penting kerana pada masa sama dapat menambahkan kualiti pendidikan di universiti dalam negara.

“Ranking (kedudukan) ini sangat penting kerana ini soal antarabangsa. Kalau kita lihat di dunia ini, universiti diukur dengan ranking.

“Pada saya, ranking itu datang dengan kualiti kerana ia ada cara menilai tersendiri untuk menyemak bagaimana sistem pembelajaran, penyelidikan yang dilakukan, bilangan pensyarah serta pelbagai perkara lagi yang dinilai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika sesi soal jawab lisan memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa Universiti Malaya (UM) terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila berada pada kedudukan ke-13 dalam QS-AUR 2020 berbanding kedudukan di tangga ke-24 tahun lalu.

Peningkatan ketara turut berlaku bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) apabila berjaya meningkatkan kedudukan daripada tangga 158 pada 2018 kepada kedudukan 119, manakala Universiti Malaysia Pahang (UMP) menduduki tangga 134 berbanding kedudukan 290 pada 2018.

Zambri menegaskan Kementerian Pendidikan seharusnya meneruskan program untuk terus menaikkan kedudukan universiti di Malaysia.

“Pada masa sama, pihak kementerian juga perlu meneruskan dasar berkaitan menambah baik kualiti dan memberikan dana serta peruntukan yang lebih kepada universiti supaya mereka boleh bergerak lebih jauh.

“Saya melihat usaha pihak kerajaan sangat baik kerana mereka mempunyai roadmap yang menyeluruh dan bagi melahirkan pelajar yang berkualiti, universiti itu sendiri perlu mempunyai kualiti,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Jufitri Joha berkata kedudukan universiti di peringkat antarabangsa juga adalah penting untuk menunjukkan tanda aras kualiti pendidikan yang ada di Malaysia.

“Perkara (kedudukan universiti) itu sekali gus boleh menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan khususnya untuk menarik pelajar di luar menimba ilmu dan nilai-nilai di Malaysia.

“Universiti perlu tekankan kepada pembudayaan ilmu dan nilai kerana saya yakin ranking itu akan bertambah baik secara natural, bukan dipaksa-paksa,” katanya.

Jufitri, bagaimanapun, menasihati pihak universiti supaya tidak terlalu obses dengan kedudukan ranking institusi pengajian mereka kerana jika tidak dikawal ia boleh membawa padah, khasnya memandangkan ia boleh membawa tekanan kepada pensyarah.

“Contohnya, apabila pensyarah ditekan, mereka terpaksa mengeluarkan artikel-artikel yang akhirnya menyebabkan mungkin akan berlakunya plagiat kerana tekanan untuk menaikkan kedudukan universiti,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :