Pengurus Acara dan Pelancongan Tourism Selangor, En M. Faroul Mustaffa bergambar bersama pasukan dari negara Australia pada Majlis Pembukaan 30th Selangor International Regatta (RMSIR) 2019 di Royal Selangor Yacht Club, Port Klang.15 November 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

RMS berkenan sertai RMSIR edisi ke-30

PELABUHAN KLANG, 15 NOV: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan untuk bersama-sama menyertai The Raja Muda Selangor International Regatta (RMSIR) bagi edisi ke-30.

Berlangsung selama sembilan hari bermula 16 sehingga 23 November, baginda yang menyertai pertandingan ini buat kali kedua akan menggunakan kapal layar ‘Fujin’.

Pengurus Jabatan Acara dan Pelancongan Fokus Tourism Selangor, M Faroul Mustaffa berkata, penyertaan Tengku Amir Shah akan menyerikan lagi saingan kali ini yang bermula di Pelabuhan Klang dan berakhir di Pulau Langkawi.

“Ini merupakan kali kedua tuanku menyertai kejohanan dan tahun lalu baginda hanua menyertai perlumbaan di Pulai Pinang.

“Namun, tahun ini baginda akan bermula di Pelabuhan Klang dan akan berlayar melalui semua ‘check point’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pembukaan The Raja Muda Selangor International Regatta Kali Ke-30 di Kelab Kapal Layar Diraja Selangor, di Pelabuhan Klang, hari ini.

M Faroul berkata, edisi kali ini turut mempromosikan budaya dan adat resam diamalkan di Selangor buat semua peserta sepanjang empat hari di sini

Sebanyak 320 pelayar membabitkan 72 pasukan dari 34 negara akan mengambil bahagian.

Empat ‘check point’ edisi kali ini adalah Pelabuhan Klang, Pulau Pangkor, Pulau Pinang dan Pulau Langkawi.

RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan paling sukar di Asia Tenggara hasil ilham Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Dato’ Johan Ariff dan Jonathon Muhiudeen.


Pengarang :