AGENDANASIONAL

Bayaran pelakon hak produksi masing-masing – Fauziah Nawi

SHAH ALAM, 15 NOV: “Kita kena terima hakikat dan tidak boleh berbuat apa-apa sebab itu wang dan perniagaan mereka (produksi televisyen). Mereka enggan membayar, itu terpulang kepada hak masing-masing”.

Demikian luahan Aktivis Teater, Fauziah Nawi, 66, ketika diminta mengulas berhubung kenyataan aktor senior, Faizal Hussein yang melahirkan rasa terkilan apabila namanya sering digugurkan bagi menjayakan drama atau filem berikutan bayaran dikenakan disifatkan terlalu tinggi.

Pelakon yang pernah membintangi drama Curi-Curi Cinta itu berkata, bayaran sama tinggi diberikan kepada pelakon veteran dan baharu adalah sangat tidak wajar.

Malah katanya, ramai pelakon yang suatu ketika dahulu pernah meledakkan nama dalam industri hiburan tempatan terpaksa meninggalkan dunia glamor masing-masing seterusnya beralih kepada bidang lain demi mencari pendapatan.

“Itu punca ramai (pelakon) sudah tidak berminat untuk berlakon lagi, sebaliknya mereka lebih memilih untuk mengusahakan perniagaan sendiri.

“Akhirnya, siapa yang hendak jadi pelakon ? (jadi pelakon) kena fikir dan sebenarnya sama sahaja di mana-mana…ada yang kelihatan hebat-hebat (berlakon), yang tiada ni bagaimana pula ?.

“Sebab itu arwah bapa saya pernah berpesan dan tidak mengizinkan saya untuk jadi pelakon, sebaliknya suruh belajar, tetapi nekad juga untuk berlakon. Maka, kena terima semua risiko dan apabila difikirkan balik memang betul,” katanya.

Beliau ditemui media selepas sidang media pelancaran Gempita Sastera-Sasterawan Negara 2019, di Hotel De Palma, di sini hari ini.

Fauziah mewakili Stefani Events dan Sanggar Teater Fauziah Nawi bekerjasama dengan Persatuan Teater dan Seni Selangor (PENTAS) serta Kerajaan Negeri Selangor untuk mengadakan program yang bakal berlangsung di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.


Pengarang :