Dr Mohd Yusri Ibrahim ketika sesi Seminar PRK Tanjung Piai di Bilik Mesyuarat Dekan 2 Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sejak Cameron Highlands, PAKATAN letak calon terbaik

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) dilihat berjaya meletakkan calon tepat untuk berdepan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Ketua Penyelidik dan Felo Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata pemilihan calon tepat ini pertama kali sejak PRK Cameron Highlands pada Januari tahun ini.

Beliau turut menjelaskan kelemahan calon-calon PAKATAN dalam dua PRK lain, iaitu Semenyih dan Rantau.

Bagaimanapun, katanya BN yang meletakkan calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng diramal akan memberi tentangan sengit terhadap calon PAKATAN, Karmaine Sardini.

“Walaupun Umno dan PAS membawa agenda Penyatuan Ummah kedua-dua parti ini menyokong calon bukan Melayu untuk memberi mesej jelas kepada pengundi bukan Melayu.

“Konsep Malaysia Baharu sedikit sebanyak mempengaruhi Tanjung Piai kerana kebangkitan populisme dan politik. Awalnya kita menjangkakan selepas PRU14 ia akan reda, sebaliknya kian melonjak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pembentangan Khas Ilham Centre: Unjuran 7 Siri PRK dan Prediksi P165 Tanjung Piai di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) di sini semalam.

Mohd Yusri yang juga penyelidik dari Pusat Penyelidikan Asas dan Lanjutan, Universiti Malaysia Terengganu berkata sejak PRU 2008 dan 2013, PAKATAN dengan konsisten berjaya mengurangkan majoriti Jeck Seng, penyandang selama tempoh itu.

Dr Mohd Yusri Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Bagaimanapun katanya momentum PAKATAN melonjak naik dan berada pada titik pertemuan pada PRU14 dengan menguasai kerusi tersebut dengan majoriti 500 undi atau satu peratus dari keseluruhan undi.

“Faktor mempengaruhi keputusan itu ialah persempadanan semula kawasan Melayu dari 51 peratus meningkat kepada 57 peratus. Calon PAKATAN waktu itu Melayu manakala BN Cina. Berbanding sebelum ini DAP-MCA (Cina bertemu Cina), tetapi PRU14 (Melayu-Cina).

“Mengambil kira faktor kaum, 57 peratus ialah Melayu dan selebihnya Cina serta sedikit India,” katanya.

Berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, calon PAKATAN Datuk Dr Md Farid Md Rafik, menang di 11 daerah mengundi sementara Jeck Seng memenangi 16 daerah mengundi.

Namun seperti beberapa PRK lalu, pengundi bukan Melayu tidak sepenuhnya pulang mengundi.

PRK di kawasan pedalaman Johor itu berlangsung pada 16 November ini susulan kematian Dr Md Farid, 42,seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Selain calon PAKATAN dan BN, PRK kali ini turut disertai empat calon lain termasuk Gerakan dan Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa).

Ilham Centre akan mendedahkan hasil kaji selidik mereka pada 14 November ini.


Pengarang :