AGENDANASIONAL

Selangor pusat pelancongan golf negara

SHAH ALAM, 4 NOV: Selangor berhasrat menjadi pusat pelancongan golf utama negara menjelang 2020 bagi menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan dan sokongan kepada penganjuran kejohanan golf bertaraf antarabangsa.

Katanya, penganjuran acara sukan berprestij itu dijangka akan memberi impak yang lebih besar dalam merancakkan industri pelancongan negeri ini.

“Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor telah menyusun kalendar penganjuran acara-acara pelancongan yang berpotensi disertai pelancong dari dalam dan luar negara sepanjang 2020.

“Antaranya Tourism Selangor Golf Championship 2020, Golf Open 2020 dan banyak lagi acara golf lain,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Juwairiya Zulkifli (PAKATAN-Bukit Melawati) berhubung perancangan baharu untuk menggalakkan kedatangan pelancong ke Selangor sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 pada Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rashid (PAKATAN-Selat Klang) berkata, selari dengan agenda Klusterisasi Ekonomi Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri juga akan memfokuskan pelancongan pelayaran mewah yang telah dikenal pasti di bawah Kluster Pelabuhan dan Maritim.

“Bagi tujuan itu, Kerajaan Negeri bercadang untuk membina Pusat Informasi Pelancongan di Boustead Cruise Centre, Klang pada 2020 yang dijangka akan memberi nilai tambah kepada industri pelancongan negeri untuk jangka masa panjang,” katanya.


Pengarang :