AGENSISELANGOR

Kaji semula dasar pendidikan elak pengangguran belia

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Dasar pendidikan di universiti perlu dikaji semula bagi mengurangkan lambakan pengangguran dalam kalangan graduan di negara ini.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata pengangguran dalam kalangan belia semakin membimbangkan pada kadar 10.9 peratus, iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding kadar pengangguran nasional.

“Kerajaan perlu mewujudkan dasar yang membolehkan graduan muda memenuhi tuntutan di dalam industri negara, malah program di institusi pendidikan tinggi sewajarnya mampu mencapai kepada mereka yang memerlukan di kawasan pedalaman,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Forum Ekonomi Belia 2019 (YEF) anjuran Persatuan Alumni Perdana Felo, di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia di sini, hari ini.

Tengku Amir Shah bertitah situasi itu bertambah buruk apabila belia lebih berminat untuk membina kehidupan di kawasan bandar sahaja.

Baginda bertitah seramai 173,000 graduan direkod tahun lalu sementara jumlah pengangguran ialah 57,000.

“Masalah pengangguran dalam kalangan belia luar bandar juga sudah berlangsung sejak bertahun lamanya. Oleh sebab itu, kerajaan perlu mewujudkan dasar yang membolehkan perubahan ini berlaku.

“Ini adalah perkara yang tidak normal apabila graduan yang mempunyai masa depan cerah serta berbakat tidak bekerja.

“Masalah utamanya kerana ketidaksepadanan antara kelayakan graduan dengan keperluan tenaga kerja negara,” titah baginda lagi.

Justeru, Raja Muda Selangor bertitah perubahan besar perlu dilakukan bagi menstruktur kembali ekonomi Malaysia.

Forum yang disertai lebih 1,800 peserta terdiri daripada golongan belia profesional dari seluruh negara itu dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

YEF ialah persidangan yang diinspirasi dari Forum Ekonomi Dunia untuk belia berhimpun dan berkongsi pendapat berhubung isu semasa serta hala tuju pembangunan ekonomi Malaysia.


Pengarang :