Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan sembah taat setia kepada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang sempena Hari Keputeraan baginda ke 74 pada 11 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Amirudin ikrar kemudi Selangor dengan tangkas, lincah dan berani

KLANG, 11 DIS: Keprihatinan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap kemaslahatan rakyat sentiasa menjadi tauladan buat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pentadbiran Selangor akan menjadikan baginda sebagai pedoman mengemudi bahtera dengan tangkas, lincah dan berani demi memastikan Selangor gagah berlayar serta megah bersaing.

“Negeri hebat ini bagaikan bahtera yang lincah dan tangkas. Ia seumpama bahtera pinisi orang-orang Bugis, sederhana akan tetapi lincah dan besar cita-citanya. Istilah pinisi itu merupakan gabungan dua perkataan iaitu “picuru” yang bermaksud orang-orang baik dan “binisi”, sejenis ikan kecil yang tangkas serta lincah.

“Kami setia dikemudi DYMM Tuanku, sama ada ke utara, selatan, timur mahupunbarat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Sembah Taat Setia Dato’ Menteri Besar sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-74 DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini hari ini.

Amirudin berkata, kegemilangan Selangor di bawah pentadbiran baginda turut mencatat kejayaan antaranya pelaburan sebanyak RM16.4 bilion dalam sektor pembuatan sepanjang Januari hingga September lalu.

Katanya, jumlah itu melangkaui sasaran RM10 bilion yang ditetapkan, sekali gus menjadikan Selangor berada pada kedudukan teratas di Malaysia.

“Kerajaan Negeri juga bertekad menyumbang sejumlah 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara menjelang 2030.

“Kami juga bercita-cita untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar terunggul di rantau ini yang dapat menyediakan 60 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi daripada jumlah tenaga kerja berkemahiran tinggi di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau selaku Dato’ Menteri Besar berbangga dan bertuah kerana diberi keizinan mentadbir negeri unggul itu.

“DYMM Tuanku dengan segala kebesarannya bermurah hati memberi izin menaungi patik sekalian mentadbir Selangor Darul Ehsan.

“Betapa berbangga serta bertuahnya patik dan seluruh rakyat jelata dinaungi serta dikemudi DYMM Tuanku,” katanya.


Pengarang :