Dato’ Seri Mohamed Amin Ali bersama barisan pimpinan utama KEADILAN lain pada sidang media di Hotel AMES, Ayer Keroh pada 7 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Azmin dan pimpinan utama KEADILAN kesal Anwar mungkir janji

AYER KEROH, 7 DIS: Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kesal dengan tindakan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mungkir janji untuk memastikan Kongres Nasional Tahunan berlangsung penuh muafakat seperti dipersetujui sebelum ini.

Beliau berkata, situasi berbeza dipamerkan ketika Majlis Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda & Wanita KEADILAN yang berlangsung dengan penuh tertib dan gilang-gemilang pada 5 Disember lalu.

“Ucapan perasmian Timbalan Presiden juga telah memberi tumpuan kepada kerangka besar penyatuan anggota, pengukuhan peranan KEADILAN dalam kerajaan dengan fokus memacu dasar dan kebijakan negara tanpa sedikitpun mencuit dan menyindir mana-mana pihak.

“Harapan para perwakilan dan pemerhati supaya ucapan dasar presiden memberi fokus kepada dasar dan hala tuju parti yang inklusif dan progresif ternyata meleset.

“Ucapan presiden yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar telah membuka laluan kepada pembahas lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota KEADILAN,” katanya.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan yang turut disokong barisan pimpinan utama KEADILAN pada sidang media yang berlangsung di Hotel AMES, di sini, hari ini.

Katanya, perbahasan oleh wakil-wakil yang dipilih secara berat sebelah juga dilihat tidak membawa suara anggota KEADILAN kepada akar umbi.

“Malah, ucapan-ucapan yang berlangsung hanya untuk mengangkat impian satu sosok dan menyerang serta melempar tohmahan kepada pimpinan yang lain,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed Azmin dan Anwar mencapai persetujuan ketika bertemu dalam satu mesyuarat khas pada 4 Disember lalu.

Antara perkara yang dipersetujui adalah untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen parti dalam Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda & Wanita KEADILAN oleh Timbalan Presiden.

Perkara lain yang dipersetujui adalah pembahas harus memberi tumpuan untuk mengartikulasi hala tuju dan masa depan KEADILAN.

Selain itu, komposisi pembahas juga harus adil mewakili semua pihak dengan jaminan membawa agenda parti.

Selain itu, pembahas juga tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ia akan menggasir objektif kongres.


Pengarang :