AGENDA NASIONAL

Gabung bil air, bil IWK untuk mudahkan pelanggan

KUALA LUMPUR, 4 DIS: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memberi jaminan pengebilan bersepadu air dan pembetungan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd tidak akan melibatkan kenaikan tarif perkhidmatan pembetungan sedia ada.

Menteri berkenaan Datuk Dr Xavier Jayakumar menjelaskan sebaliknya langkah berkenaan akan memudahkan lagi proses pembayaran apabila pelanggan akan menerima dan membayar satu bil bagi kedua-dua perkhidmatan antara operator bekalan air dan pihak pembetungan.

“Selain itu pelanggan juga hanya perlu menghubungi satu pusat hubungan sekiranya pelanggan mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan bil kerana terdapat kakitangan IWK akan berada di pejabat pembekal air.

“Pelanggan juga tidak perlu lagi menghubungi talian yang berlainan untuk isu perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan sekiranya berlaku sebarang masalah,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Xavier menjawab soalan Datuk Mansor Othman (PH-Nibong Tebal) yang ingin tahu sejauh mana usaha kerajaan bagi menggabung bil bekalan air dengan bil pembetungan IWK serta kesannya kepada kerajaan dan rakyat.

Menurutnya pelaksanaan projek rintis bil bersepadu yang telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa 1 Mac 2016 memberi kesan positif kepada IWK apabila berlaku peningkatan kadar kumulatif syarikat berkenaan di wilayah itu.

“Kadar kumulatif IWK di Labuan iaitu dari 87 peratus pada 2016 kepada 90.4 peratus pada 2018. Ia juga memberi kesan positif kepada Jabatan Bekalan Air Labuan (JBAL) iaitu peningkatan sebanyak dua peratus daripada RM33.11 juta pada 2016 kepada RM33.82 juta untuk 2018.

“Selepas perlaksanaan pengebilan bersepadu di Labuan, bersama sokongan KATS akan diperluas ke negeri-negeri lain dengan mengadakan perbincangan bersama operator-operator bekalan air negeri,” katanya.

Dr Xavier berkata buat masa kini, Pulau Pinang menunjukkan minat mereka untuk berunding bagi perlaksanaan pengebilan bersepadu itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian juga akan memberhentikan pemberian subsidi kepada IWK dalam tempoh lima tahun akan datang namun beberapa program akan dilaksanakan kementeriannya bagi membolehkan syarikat itu berdiri sendiri.

-BERNAMA


Pengarang :