AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Segamat berkurangan kepada 252 orang

JOHOR BAHRU, 23 DIS: Keadaan banjir di Segamat semakin pulih dengan jumlah penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini terus berkurangan, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon dalam kenyataan berkata, setakat jam 8 malam ini, sebanyak 252 orang daripada 58 keluarga berada di enam PPS berbanding 283 orang daripada 65 keluarga di tujuh PPS pada jam 6 petang tadi.

Kesemua yang masih terjejas adalah penduduk daripada Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh, Kampung Gemereh, Kampung Spang Loi, Kampung Tandong dan Kampung Bukit Tunggal dalam Mukim Gemereh, Pogoh, Jementah dan Buloh Kasap.

Mereka ditempatkan di PPS Balairaya Kampung Batu Badak, Kompleks Penghulu Pogoh, Balairaya Gemereh 3, Sekolah Kebangsaan Kampung Spang Loi, Dewan Kampung Tandong dan Balairaya Bukit Tunggal.

Katanya cuaca di Segamat adalah cerah, namun kesemua yang masih berada di PPS belum boleh pulang kerana kediaman masing-masing digenangi ‘banjir termenung’ pada paras kira-kira 0.3 meter.

-BERNAMA


Pengarang :