AGENDA NASIONAL

Kadar pemalsuan Ringgit Malaysia rendah

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Hanya satu daripada sejuta keping wang Ringgit Malaysia dalam edaran yang didapati dipalsukan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, setakat ini, kadar pemalsuan wang di Malaysia dikategorikan masih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

“Kita lebih rendah berbanding United Kingdom iaitu 128 keping per juta, Euro (Kesatuan Eropah) tiga keping (dalam sejuta) dan di Australia 17 keping per juta. Jadi, (pemalsuan wang) kita masih dalam keadaan yang terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Matawang (Pindaan) 2019 yang kemudian diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini selepas dibahas lebih sejam.

Rang Undang-undang Matawang (Pindaan) 2019 adalah bertujuan pengurusan mata wang Malaysia, pengawalseliaan perniagaan pemprosesan mata wang dan aktiviti pemprosesan mata wang.

Rang Undang-undang itu bercadang untuk mencapai objektif dalam menyediakan kerangka undang-undang yang lebih menyeluruh bagi memenuhi mandat Bank Negara Malaysia (BNM) di bawah Akta 701, sebagai pengeluar tunggal mata wang negara.

Ia juga antaranya untuk mengemas kini, mengukuhkan tugas dan fungsi BNM dalam pengurusan serta operasi mata wang dan memperkenalkan rangka wang, rangka kerja pengawalseliaan ke atas pemproses mata wang di Malaysia.

Selain itu, Amiruddin turut menegaskan BNM tidak mengiktiraf mata wang kripto atau aset digital sebagai mata wang yang sah diperlakukan atau sebagai ‘legal tender’.

Jelasnya, berdasarkan kepada penilaian BNM dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, aset digital itu terdedah kepada pelbagai risiko, termasuk naik turun harga yang tinggi akibat pelaburan bersifat spekulatif.

“Ia juga boleh menyebabkan penyalahgunaan untuk tujuan pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan ancaman kecurian akibat serangan siber.

“Penggunaan aset digital secara meluas boleh memberi kesan negatif terhadap kestabilan monetari dan kewangan negara dengan menjejaskan keberkesanan polisi monetari dan fungsi sektor kewangan dalam pengantaraan dana,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :