AGENDA NASIONAL

Kaji keberkesanan cukai minuman bergula selepas dua tahun

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Kementerian Kesihatan bercadang menjalankan kajian keberkesanan pelaksanaan cukai atau duti eksais ke atas minuman bergula selepas dua tahun pelaksanaannya iaitu pada 2021.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kajian bagi melihat keberkesanan pengenalan cukai itu dalam mengubah tabiat pemakanan rakyat Malaysia akan dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Malaysia.

Pada 1 Julai lepas, kerajaan mula melaksanakan cukai minuman bergula iaitu duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter.

Dr Dzulkefly berkata buat masa ini, kesan pelaksanaan cukai itu dapat dilihat kepada rumusan semula kandungan gula dalam produk minuman oleh syarikat pengeluar minuman.

“Berdasarkan data terkini, sebanyak 17 syarikat pengeluar minuman telah membuat reformulasi (rumusan semula) yang melibatkan 83 jenis produk minuman manis,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nurul Izzah ingin tahu mengenai pelan holistik kementerian untuk mengurangkan jumlah penghidap obesiti dan keberkesanan pengenalan cukai gula terhadap golongan sasaran sejak 1 Julai 2019 dalam mengubah tabiat pemakanan serta penyerapan hasil cukai ke dalam biaya program makanan percuma di sekolah.

Dr Dzulkefly berkata satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Menangani Masalah Obesiti telah ditubuhkan dan hasil kerja jawatankuasa itu sebanyak 48 polisi telah digariskan dan akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh 10 tahun (2016-2025) termasuk cukai minuman bergula.

“Kerajaan amat prihatin dengan masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin meningkat, kita telah dinobatkan menjadi kedudukan paling atas dari segi kegemukan di seluruh negara Asia dan dari segi obesiti kanak-kanak juga kita kedua tertinggi daripada negara ASEAN pada umur lima sehingga 19 tahun,” katanya.

Sehubungan itu, katanya beberapa pelan tindakan jangka panjang telah dibentuk bagi menangani masalah itu iaitu Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016-2025), Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (2016-2025) dan Pelan Strategik Aktiviti Fizikal Kebangsaan (2017-2025).

-BERNAMA


Pengarang :