Prof Dato’ Dr Redzuan Othman menunjukkan model Kapal Korek Syarikat Berjuntai Tin kepada Datuk Rashid Asari ketika perasmian Kafe Muzium dan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Unisel bersama Majlis Daerah Kuala Selangor berlangsung di Bestari Jaya, Kuala Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri puji UNISEL buka Kafe Muzium

SHAH ALAM, 4 DIS: Kerajaan Negeri memuji inisiatif Universiti Selangor (UNISEL) membuka Kafe Muzium di kampus induknya bagi memaparkan artifak dan seni yang wujud di Bestari Jaya.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, beliau menghargai usaha UNISEL membuka kafe berkenaan, sekali gus memperingati tapak perlombongan bijih timah yang wujud di situ.

Katanya, tempat makan berkonsepkan muzium itu juga bakal menjadi salah satu tarikan pelancong sama ada dari dalam juga luar negara yang berkunjung ke Kuala Selangor khususnya.

“Hari ini UNISEL memperkenalkan Kafe Muzium iaitu sebagai salah satu tempat makan yang mempunyai identiti kesenian artifak dan seni visual yang diiktiraf, sejajar dengan galeri seni kafe serta muzium kafe seni sedia ada.

“Malah, saya difahamkan Kafe Muzium bakal jadi kawasan tumpuan apabila terdapat banyak jualan makanan dan minuman serta pameran penyimpanan artifak oleh penduduk sekitar kawasan Bestari Jaya.

“Hal itu sekali gus dapat membina perpaduan komuniti membabitkan individu, kumpulan, perniagaan dan organisasi dalam mewujudkan perkongsian, kolaborasi serta rangkaian baru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Kafe Muzium@Food Valet UNISEL dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UNISEL dengan Majlis Daerah Kuala Selangor, di Kampus Bestari Jaya, di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, beliau optimis Kafe Muzium itu dapat melaksanakan program berkala dengan lebih proaktif supaya kawasan berkenaan sentiasa diuar-uarkan di media sosial.

“Saya mengharapkan usaha gigih yang dijalankan UNISEL bagi mewujudkan persekitaran kampus yang lebih indah dan ceria ini akan berterusan dari masa ke masa sehingga hasrat mereka untuk menjadi “kampus dalam taman” menjadi realiti,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, idea penubuhan Kafe Muzium itu tercetus apabila pihaknya dimaklumkan bahawa kawasan itu mempunyai sejarahnya tersendiri khususnya dalam sektor perlombongan bijih timah.

Katanya, kawasan itu pernah menjadi tapak perlombongan bijih timah terbesar di Malaysia sekitar tahun 50-an.

“Rentetan daripada itu, di atas komitmen staf UNISEL dengan bantuan daripada penduduk kampung Bestari Jaya, maka wujudlah tempat makan Kafe Muzium@Food Valet ini,” katanya.


Pengarang :