Selangorkini
Istana Kehakiman kelihatan begitu indah dan unik apabila pertunjukkan pancaran cahaya dipancarkan pada bangunan terbabit yang menjadi daya tarikan utama pada ‘Festival Light and Motion Putrajaya 2019’ (LAMPU 2019) di Dataran Putrajaya Pada 28 Disember 2019 – Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LAMPU 2019 tonjol kepelbagaian etnik, budaya

PUTRAJAYA, 28 DIS: Festival Light and Motion Putrajaya 2019 (LAMPU 2019) di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan kembali untuk tahun ketujuh dengan konsep kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, bertemakan “Beautiful Malaysia”, festival itu yang berlangsung bermula malam tadi hingga 31 Disember menekankan kepada aspek perpaduan bertujuan menerapkan penerimaan kepelbagaian budaya dan etnik sebagai identiti negara.

“Ini adalah satu perkara yang wajar kita rasa bangga dan usaha-usaha untuk memecah-belah dan melaga-lagakan antara kaum di negara ini sewajarnya ditolak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan LAMPU 2019 di Dataran Putrajaya, di sini malam tadi.

Khalid Abdul Samad (tiga, kanan) melihat persembahan tarian naga selepas merasmikan ‘Festival Light and Motion Putrajaya 2019’ (LAMPU 2019) di Dataran Putrajaya pada 28 Disember 2019. -Foto BERNAMA

Khalid berkata, selain persembahan projektor video di fasad Bangunan Istana Kehakiman, LAMPU 2019 turut menampilkan beberapa tarikan baharu antaranya ‘Planetarium 360’.

Katanya, struktur berbentuk kubah berukuran 20 meter radius dan tinggi 10 meter itu dihiasi pertunjukan visual 360 darjah dengan kesan bunyi yang menarik.

Khalid berkata, tarikan lain di Dataran Putrajaya termasuk Laman Kampung Melayu, China Town Street, Little India Street, kumpulan muzik jalanan, wayang kulit, wayang pacak, pemakan api dan aktiviti kanak-kanak.

Buat julung kalinya, pengunjung juga berpeluang merakamkan ucapan secara swafoto yang akan dipaparkan pada fasad Bangunan Istana Kehakiman.

Pada malam ambang tahun baharu 2020 pula, suasana Dataran Putrajaya akan diserikan lagi dengan persembahan bunga api dan pertunjukan bunga api digital.

Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata LAMPU 2019 menyasarkan kehadiran sehingga 1.5 juta pengunjung sepanjang empat malam festival itu berlangsung.

“Saya harap orang ramai datang ke Putrajaya, kita saksikan keindahan bandar ini yang diterangi lampu-lampu dan raikan kepelbagaian budaya di negara ini,” katanya.

Bagi kemudahan pengunjung, PPj menyediakan khemah untuk berteduh dan perkhidmatan bas perantara dari Putrajaya Sentral ke tapak festival secara percuma.

– BERNAMA


Pengarang :