AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 90 peratus jangkitan HIV, AIDS berpunca seks songsang

IPOH, 1 DIS: Lebih 90 peratus jangkitan HIV atau AIDS di negara ini berpunca daripada hubungan seks tidak selamat khususnya yang mengamalkan seks songsang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, lebih membimbangkan statistik tahun lepas menunjukkan sebanyak 77 peratus daripada 3,293 penghidap HIV dan AIDS di negara ini terdiri daripada mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun.

“Sehubungan itu, saya mengharapkan agar usaha-usaha yang lebih proaktif dapat dijalankan untuk menghindari jangkitan penyakit ini dalam kalangan belia dan remaja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari AIDS Sedunia 2019 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Dr Lee berkata, perubahan landskap HIV atau virus kurang imun badan di Malaysia berubah apabila hubungan seks songsang dan heteroseksual iaitu hubungan seks berlainan jantina kini menjadi golongan utama yang menghidap penyakit berkenaan berbanding dahulu ia kebanyakkannya berpunca daripada suntikan.

“Sekarang dah terbalik jadi kita perlu meningkatkan pemahaman berkaitan seks dan pendidikan berterusan mengenai aktiviti seks yang tidak dilindungi bersama pasangan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata, Program Pengurangan Mudarat yang diperkenalkan pada 2006 berjaya mengurangkan jangkitan HIV dan AIDS dalam kalangan penagih dadah suntikan (PWID) kepada paras yang rendah.

Katanya, berdasarkan statistik, pada 2010 terdapat seramai 1,737 PWID, namun jumlah itu berjaya dikurangkan kepada hanya seramai 93 pada tahun lepas hasil kejayaan Program Pengurangan Mudarat.

Dr Lee turut menyeru semua penghidap HIV atau dikenali sebagai Orang Yang Hidup dengan HIV (PLHIV) supaya tidak melengah-lengahkan pengambilan rawatan anti-retroviral (ARV) agar kualiti kehidupan mereka terus terpelihara.

Pada sambutan bertemakan Komuniti Membawa Perubahan, pelbagai acara diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan, ujian saringan kesihatan, kaunseling berhubung penyakit HIV dan AIDS, pameran kesihatan serta kegiatan amalan gaya hidup sihat untuk menarik golongan belia dan remaja.

– BERNAMA


Pengarang :