EXCOSELANGOR

Majlis Perbandaran Subang Jaya kini berstatus bandar raya

SHAH ALAM, 18 DIS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dinaik taraf menjadi bandar raya ketiga di Selangor selepas Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, selain MPSJ, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) turut diberi kelulusan untuk dinaik taraf sebagai majlis perbandaran selepas ini.

“Semalam kita telah medapat pengesahan bahawa MDKL telah dipersetujui dan diluluskan Kabinet untuk diangkat sebagai Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Semalam juga, ketika saya bertemu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin, beliau secara peribadi menyampaikan kepada saya maklumat itu. Kali ini bukan secara lisan tetapi dengan surat Kabinet yang bersetuju menaik taraf MPSJ kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya sebagai mana yang kita gariskan dan cadangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi YAB Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Ketua-Ketua Jabatan & Agensi Kerajaan Negeri di Dewan Megawati di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, pencapaian itu sejajar dengan sasaran tahun 2019 Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kualiti dan taraf pihak berkuasa tempatan di Selangor.

Katanya, selain itu, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) juga bakal dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor.

Bagaimanapun, katanya, MDKS pada masa ini sedang giat melengkapkan beberapa kriteria sebelum permohonan dimajukan ke peringkat lebih tinggi.


Pengarang :