DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menganugerahkan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor yang membawa gelaran Dato’ Seri kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena hari keputeraan baginda ke-74 di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Netizen ucap tahniah pengurniaan darjah kelas pertama Amirudin

SHAH ALAM, 11 DIS: Laman Facebook Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dihujani ucapan tahniah daripada warga siber atas pengurniaan darjah kelas pertama, Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), hari ini.

Rata-rata pelayar maya melahirkan rasa kagum dan terharu dengan penghormatan diberikan kepada pemimpin tertinggi negeri itu.

Malah, ada yang menaruh kepercayaan tinggi terhadap pemimpin berusia 39 tahun itu supaya terus mengekalkan momentum pentadbiran cemerlang demi kemajuan Selangor.

“Tahniah YAB Dato’ Seri Amirudin Shari. Semoga terus cemerlang berkhidmat untuk rakyat Selangor,” tulis Mohd Izham Saparuddin.

“Tahniah Dato’ MB (Menteri Besar), gelaran kelas pertama, Dato’ Seri Amirudin Shari. Moga terus cemerlang membawa negeri Selangor tercinta ini,” begitu pula dicoret Mizan Adli Mohd Noor.

“Diharap dapat memberi lebih manfaat kepada rakyat Selangor selepas dapat ‘title’ tersebut, rajin-rajinlah melawat kawasan rakyat anda,” itu pandangan Wak Din.

Berkongsi nada sama, Faizal Osman yang menganggap pengurniaan darjah kebesaran kepada Amirudin sebagai khabar gembira buat seluruh penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua.

“Tahniah Dato’ Seri Amirudin. Kami org (orang) kampung tumpang gembira,” tulisnya.

Terdahulu, beliau mendahului senarai 91 penerima darjah dan bintang kebesaran Selangor sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-74 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam istiadat berlangsung di Istana Alam Shah, di sini.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu juga menjadi penerima tunggal gelaran berkenaan tahun ini bersesuaian dengan jawatannya sebagai Dato’ Menteri Besar.


Pengarang :