Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kanan) menyampaikan gambar juara Skuasy Dunia kepada bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David yang menjadi juara sebanyak lapan kali pada satu majlis penghormatan atas kejayaan beliau di Nicol David International Squash Centre, Bukit Dumbar hari ini. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Nicol: Skuasy miliki ramai pemain junior berbakat

GEORGE TOWN, 22 DIS: Bekas pemain skuasy nombor satu dunia Datuk Nicol Ann David hari ini berkata, Malaysia mempunyai ramai bakat baharu dalam sukan skuasy dan boleh ditampilkan sebagai pemain profesional masa hadapan.

Juara dunia lapan kali itu berkata pada masa ini, ramai pemain junior yang telah tunjukkan peningkatan dan ada antara mereka mempunyai potensi yang baik.

“Saya lihat ada ramai pemain junior berbakat yang berpotensi untuk dijadikan pelapis dalam sukan skuasy. Saya harap mereka terus berlatih bersungguh-sungguh dan kita lihat bagaimana mereka boleh kembangkan potensi yang mereka ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis ‘Penghargaan kepada Datuk Nicol David, Sesi Bertemu dan Bermesra’, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng.

Nicol berkata, pada tahun hadapan beliau bercadang untuk memfokuskan kepada usaha memperkasakan wanita dan remaja dalam skuasy melalui Yayasan Nicol David.

“Saya mahu berkongi pengalaman saya melalui sesi motivasi dan sesi libat sama. Saya mahu lihat apa yang boleh saya tawarkan dengan yayasan saya, dalam usaha membantu remaja wanita dan lelaki, dalam memperkasakan mereka melalui sukan dan menggunakan bahasa inggeris sebagai satu kelebihan tambahan.

“Saya juga mahu lakukan sesuatu bersama Kementerian Belia dan Sukan dan mencari cara bersama wanita dan segmen sukan dan juga remaja, untuk mendorong mereka berjaya dan berharap dalam melakukan beberapa program bersama,” tambahnya.

Ketika ditanya sama ada beliau ada menerima tawaran sebagai jurulatih kebangsaan, Nicol berkata, beliau tidak akan menjadi jurulatih sepenuh masa, tetapi akan melatih berdasarkan program.

-BERNAMA


Pengarang :