Elya Marini Darmin turun padang bersama-sama penguat kuasa MPK, JPJ dan Polis Trafik Klang Selatan dalam Operasi Kenderaan Berat pada 30 November lalu. Foto Ihsan MPK
PBTSELANGOR

Padah parkir kenderaan berat di bahu jalan

KLANG, 2 DIS: Tindakan pemilik meletakkan kenderaan berat di taman perumahan dan bahu jalan, di sini mengundang padah apabila dikenakan kompaun serta saman oleh pihak berkuasa.

Dalam satu Operasi Kenderaan Berat pada Sabtu lalu, sebanyak 17 kompaun halangan kenderaan berat dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK), 16 saman oleh Polis Trafik Klang Selatan manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sembilan saman.

Setiausaha MPK, Elya Marini Darmin berkata operasi terbabit dibuat berdasarkan aduan orang ramai yang bimbang terhadap keselamatan pengguna jalan raya.

“Tindakan mereka (pemilik) meletak kenderaan berat di kawasan taman perumahan dan bahu jalan bukan sahaja mengganggu orang awam tetapi turut mengancam keselamatan.

“Justeru, operasi ini akan diadakan lebih kerap bagi memastikan pemilik kenderaan berat mematuhi syarat ditetapkan dan pemantauan akan dijalankan secara berterusan,” katanya kepada SelangorKini.

Operasi bermula 8 malam itu diadakan di Bandar Putra, Lebuh Kebun Nenas 1, Jalan Kebun Nenas 2A, Kebun Nenas 2J dan 2K serta Hulubalang 10, Seruling (tapak letak kenderaan berat MPK), Taman Chi Liung dan Batu Unjur.


Pengarang :