Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan replika cek kepada pemenang esei pada Majlis Hadiah Sastera Selangor 2019 di SACC Mall, Shah Alam pada 16 Disember 2019. Turut kelihatan CEO CCSB, Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree. REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penulis esei masih terikat ‘rukun’ karangan sekolah – Juri

SHAH ALAM, 16 DIS: Majoriti penulis esei Hadiah Sastera Selangor 2019 dilihat masih terikat dengan `rukun’ penulisan seperti yang `difatwakan’ di sekolah, demikian ulasan Ketua Jurinya, Faisal Tehrani.

Katanya, gara-gara mengikut rukun berkenaan, esei-esei yang dihasilkan menjadi kaku dan tidak menarik sehingga mesej yang ingin disampaikan gagal.

“Ada juga penulis lebih cenderung menggunakan ulasan filem, buku atau karya orang lain sedangkan ia tidak memberi manfaat kepada pembaca kecuali segelintir daripada mereka.

“Penulis sewajarnya perlu membawa gagasan idea baharu yang segar bagi membolehkan maklumat dikongsi dengan pembaca. Daripada situ pembaca akan memperoleh sesuatu selepas membaca dan bukannya terkapai-kapai.

“Bagaimanapun, bagi esei pemenang utama, gaya ekstradisinya berjaya disampaikan dengan jelas, lancar dan sesekali bersahaja menjadikan karya penulis itu tidak menjemukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan laporan penilaian peserta Hadiah Sastera Selangor 2019 bertempat di Black Box SACC Mall di sini, malam tadi.

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dan Ketua Pegawai Eksekutif CCSB (Media Selangor), Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree yang juga selaku penganjur utama program terbabit.

Turut menyerikan majlis enam Sasterawan Negera iaitu Datuk A.Samad Said, Datuk Dr Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr Zurinah Hassan, Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Baha Zain.

Bagi kategori cerpen, Faisal berkata, juri dan editor sependapat menyimpulkan mutu karya yang dipersembahkan merosot berbanding tahun lalu.

Katanya, didapati penulis cerpen pada kali ini kekurangan idea dan bertambah aneh apabila banyak cerpen menggunakan kucing sebagai prop.

“Namun apa yang bagusnya ialah penulis sangat peduli dengan realiti dan zaman serta mengemukakan isu-isu polisi pemerintah Malaysia Baharu, pedofilia, sikap putus asa terhadap pemimpin politik baharu dan tema cinta dua darjat,” katanya.

Bagaimanapun, Faisal, seorang novelis terkenal memuji karya sajak yang dihantar kepada akhbar SelangorKini.

Katanya, pemenang hadiah utama dipilih atas kekuatan seni wacana dengan pemilihan kata-kata segar, spontan dan tidak dipaksa sekali gus ia dilihat jelas dan tidak klise.

“Pemilihan ungkapan segar dan bermakna hasil daripada pengalaman membaca yang luas, bagi kami sajak ini mencabar daya imaginasi dan pemikiran.

“Manakala empat pemenang lain pula mempunyai kekuatan sendiri mengikut tema dan kawalan bahasa yang baik. Kebanyakan sajak mempamerkan gejolak rasa mengikut perkembangan sosial secara matang tetapi persembahan halus dan berseni,” katanya.

Anugerah Hadiah Sastera Selangor 2019 yang dianjurkan sejak 2015 adalah cetusan idea Amirudin ketika beliau menyandang jawatan Exco Kebudayaan Negeri.

Ia bertujuan memupuk kemahiran seni sastera dalam kalangan penulis, khususnya yang masih baru dan belum mendapat tempat dalam beberapa penerbitan lain.

Pada tahun ini, SelangorKini menerima kira-kira 600 karya bagi kategori esei, cerpen dan sajak.


Pengarang :