Pemandangan dari udara menampakkan kawasan rumah di sekitar Kota Tinggi yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan Jabatan Bomba dan Penyelamat pada 16 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Pertembungan air pasang, hujan luar biasa faktor banjir di Johor

KOTA TINGGI, 17 DIS: Pertembungan air pasang, ditambah dengan taburan hujan luar biasa sehingga ada kawasan yang menerima taburan hujan menyamai hujan selama lima bulan adalah antara faktor yang menyumbang kepada banjir di negeri ini, sejak Sabtu lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri Jimmy Puah Wee Tse berkata berdasarkan analisis data yang diperolehi dari agensi-agensi berkaitan, apa yang berlaku pada Sabtu dan Ahad menyaksikan sebahagian besar kawasan di Johor menerima jumlah hujan di luar jangkaan dan terlalu tinggi.

“Saya berikan satu contoh, di kawasan Empangan Labong, Mersing. Dalam tiga hari sahaja, jumlah hujan turun adalah sebanyak 779 milimeter (mm), iaitu bersamaan jumlah hujan lima bulan di Mersing, tetapi turun dalam masa tiga hari sahaja.

“(Dan) kita juga ambil faktor air pasang. Kebetulan, hari Sabtu, Ahad dan Isnin lepas terdapat air pasang.. itulah kenapa bila hujan turun dengan banyak pada hari Sabtu dan Ahad, itu juga mengakibatkan faktor utama mengapa banjir di Kota Tinggi dan Mersing,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah pam Sungai Kemang, di sini, hari ini.

Puah berkata pihaknya turut menjangkakan gelombang banjir seterusnya berikutan jangkaan air pasang pada 25, 26 dan 27 Disember, yang berkemungkinan lebih tinggi parasnya dari yang lepas.

“(Dan) kalau ada hujan ketika itu, mungkin ada gelombang (banjir) seterusnya lagi… saya ada dengar pada Hari Krismas mungkin ada hujan yang lebat. (Bagaimanapun), kita nak meyakinkan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan sudah buat persediaan terbaik untuk memastikan kalau ada banjir lagi… kita akan bersedia,” kata Puah.

Sementara itu, kerajaan negeri bakal melaksanakan rancangan tebatan banjir di Sungai Pemandi, dekat sini, yang dijangka bermula akhir tahun hadapan dan siap dalam masa empat tahun.

Projek itu bakal mengurangkan banjir di kawasan Taman Aman, Taman Mawai dan kawasan sekitar, antara kawasan yang terjejas teruk banjir kali ini.

Ia bakal melibatkan pembinaan rumah pam, ban sungai dan jambatan.

-BERNAMA


Pengarang :