AGENDANASIONAL

Projek PGBF menghampakan hanya 1,498 rumah siap

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Prestasi Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) menghampakan kerana setakat 30 April 2019, hanya 1,498 rumah disiapkan berbanding sasaran 20,000 rumah untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun mulai 2013, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara Siri 2, 2018.

Ia antara penemuan Audit yang dijalankan antara Mac hingga Jun 2019 yang mendapati objektif projek itu belum tercapai sepenuhnya kerana sasaran pembinaan rumah, serahan rumah tidak tercapai dan rumah yang telah diserahkan belum dimeterai perjanjian pemilikan.

Menurut laporan itu lagi, bagi aspek pengurusan projek pula, terdapat kelemahan dalam pengurusan kewangan, perancangan projek, pelantikan kontraktor projek, pentadbiran kontrak dan pemantauan.

Antaranya, urusan hak milik tanah enam projek PGBF yang telah memperoleh Certificate of Completion and Compliance (CCC) masih belum selesai.

Audit juga mendapati kesemua 37 kontraktor projek PGBF yang dilantik memulakan kerja pembinaan sebaik sahaja Surat Setuju Terima (SST) diterima tanpa mendapat kelulusan Kebenaran Merancang terlebih dahulu.

Pada masa sama menurut laporan itu, pemantauan yang dijalankan kurang berkesan dan ini jelas berdasarkan kualiti kerja pembinaan yang rendah, masalah hakisan tanah dan tiada kawalan keselamatan di beberapa projek yang dilawati.

Justeru, laporan itu mengesyorkan beberapa langkah yang perlu diambil Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang antaranya memastikan setiap projek yang hendak dilaksanakan ditentukan punca dana untuk mengelakkan masalah ketiadaan peruntukan dan masalah kelewatan bayaran kepada kontraktor.

Selain itu, Felda perlu memastikan setiap projek dirancang dengan teliti khususnya dengan melaksanakan kajian ‘feasibility’ dan ‘due diligence’ bagi meningkatkan kecekapan pelaksanaan projek serta pemantauan projek hendaklah dilaksanakan oleh pegawai mereka yang mempunyai kepakaran teknikal bagi mengelakkan kebergantungan sepenuhnya kepada pihak perunding.

Pada masa sama, Lembaga Pengarah Felda harus melaksanakan tanggungjawab secara telus, mematuhi peraturan semasa kerajaan dan peraturan dalaman yang berkuat kuasa serta menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi menyiasat ketidakpatuhan pegawai dalam pengurusan perolehan.

Felda juga perlu memastikan aspek pentadbiran kontrak terutama berkaitan kelulusan lanjutan masa, penyediaan polisi insurans dan bon pelaksanaan dilaksanakan dengan teratur supaya kepentingan Felda dilindungi.

PGBF telah diumumkan oleh kerajaan ketika ucapan Belanjawan 2013 iaitu sebanyak 20,000 rumah akan dibina dalam tempoh lima tahun bermula 2013 bagi memberi peluang kepada generasi baharu Felda memiliki rumah yang sesuai dengan kemampuan mereka.

Projek yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion dilaksanakan secara reka dan bina menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) atas tanah rancangan Felda berkeluasan 5,000 ekar (2,023 hektar).

– BERNAMA


Pengarang :